KETIADAAN Hawkeye pada poster Avengers Infinity War timbulkan persoalan.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Menampilkan adiwira baru adalah kekuatan dan daya tarikan filem Avengers Infinity War.

Pastinya peminat ingin menjadi antara penonton terawal menghayati perang yang tercetus dalam karya kali ini.

Gabungan adiwira terdahulu seperti Iron Man, Thor, Black Widow, Hulk serta ‘muka baru’ iaitu Doctor Strange, Guardians Of The Galaxy, Spiderman dan Black Panther menjanjikan kepuasan buat pengikut setia filem itu.

Dalam sidang media yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sand, Singapura, baru-baru ini, pengarahnya, Joe Russo berkata, pihaknya mengambil masa lama untuk menyusun jalan cerita supaya setiap watak mempunyai peluang untuk bersinar.

Katanya, ia cabaran baharu buat mereka kerana lebih 30 adiwira dimuatkan dalam satu filem. Mereka harus bijak membuat pembahagian supaya setiap watak mempunyai waktu untuk bersinar.

“Cabaran kali ini agak besar kerana bekerja dengan ramai adiwira. Kami tidak mahu dikatakan berat sebelah hanya kerana watak lain mempunyai lebih banyak babak.

“Dengan kehadiran adiwira baru, kami bertungkus-lumus menyusun jalan cerita supaya mereka dapat tonjolkan kekuatan serta bersinar dalam filem ini.

“Kami tidak mahu Iron Man, Black Widow dan Hulk membayangi mereka yang baru saja menyertai Avengers. Kami pastikan kehadiran mereka relevan dengan peperangan dalam filem kali ini,” katanya.


DARI kiri Trinh, Downey, Karen, Cumberbatch dan Russo

Turut hadir dalam sidang media itu ialah pelakon Robert Downey Jr yang membawa watak Iron Man dan Tony Stark; Benedict Cumberbatch (Doctor Strange); Karen Gillan (Nebula) dan Penerbit Eksekutif, Trinh Tran.

Mengamati poster Avengers Infinity War yang memuatkan semua adiwira dalam filem berkenaan, peminat Hawkeye bagaimanapun tidak melihat wajah watak itu terpampang pada poster.

Perkara itu menyebabkan timbul persoalan dalam kalangan peminat sama ada Hawkeye turut sama beraksi atau direhatkan.

Tambahan pula, watak itu turut tidak kelihatan dalam trailer rasmi Avengers Infinity War.

Peluang bertemu dengan Russo tidak disia-siakan begitu saja. Itu adalah kesempatan terbaik untuk mendapatkan penjelasan sama ada Hawkeye turut memainkan peranan dalam pertarungan kali ini atau sebaliknya.

“Sabar itu indah. Kami tidak pernah melupakan kehebatan Jeremy Renner melakonkan watak Hawkeye. Kami ada perancangan khusus buatnya. Semuanya akan terjawab. Cuma saya minta peminat dapat bersabar sehingga filem ini ditayangkan,” katanya.

Bagaimanapun, ketika acara karpet merah, Russo memberikan bayangan Hawkeye berada di pihak lawan iaitu Thanos.

Pada masa sama, Downey dan Cumberbatch turut berjenaka bahawa Hawkeye adalah satu-satunya individu yang mampu menewaskan kejahatan.

Sementara itu, Downey yang cukup terkenal dengan wataknya sebagai Iron Man atau Tony Stark sejak 10 tahun lalu turut mendedahkan karakter itu berkembang sebagaimana peningkatan usianya.

“Saya mula melakonkan watak Iron Man pada usia awal 40-an. Tahun ini, saya sudah berusia 53 tahun. Mungkin akan ada perubahan dari segi emosi yang dapat dilihat dalam diri Tony dalam filem kali ini.

“Bagaimanapun, semua itu boleh diperhatikan dalam Avengers Infinity War. Secara peribadi, saya sendiri mengalami perubahan. Emosi saya 10 tahun lalu tidak sama dengan sekarang,” katanya.


CAPTAIN America mengetuai kumpulannya dalam perang.

Ditanyakan pengalamannya bekerja bersama Cumberbatch, kata Downey, dia adalah peminat setia filem Doctor Strange. Dia berbesar hati dapat bekerjasama dengan pelakon Britain itu dalam Avengers kali ini.

Sebelum ini, umum tahu hubungan ‘bromance’ yang terjalin antara Iron Man dan Hulk. Malah, kedua-dua mereka menggunakan tanda pagar #sciencebros menunjukkan hubungan rapat mereka.

Kali ini, menerusi trailer Avengers Infinity War, dapat dilihat Doctor Strange lebih banyak bersama dengan Iron Man. Perkara ini membuatkan Downey berjenaka bahawa hubungan Iron Man dan Hulk yang dilakonkan Mark Ruffalo sudah berakhir.

“Saya peminat filem Doctor Strange. Apabila bercakap mengenai masalah sejagat sama ada di bumi mahupun angkasa lepas atau berkaitan dengan kerohanian, dia adalah adiwira yang tepat untuk menyelesaikannya.

“Mungkin disebabkan perkara itu, Tony banyak bersama Doctor Strange. Maaf Mark Ruffalo, Science Bros sudah berakhir. Saya mempuyai rakan baru sekarang,” katanya berjenaka.

Avengers Infinity War adalah sekuel pada Marvel’s The Avengers (2012) dan Avengers: Age of Ultron (2015). Ia mengisahkan peperangan antara Avengers dan Thanos. Mereka sedaya upaya cuba menghalang Thanos daripada mendapatkan Batu Infiniti.

Avengers Infinity War bakal ditayangkan pada 25 April depan.


SPIDERMAN datang memberikan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 12:57 AM