Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PENYANYI rap, Joe Flizzow mengakui tidak ada masalah jika penyanyi rap lain menggunakan lagu untuk menyampaikan mesej berbaur sindiran.

Joe, 39, berkata itu adalah hak masing-masing dan dia sendiri tidak kisah jika ada yang berbuat demikian terhadap dirinya.

“Baguslah. Setiap penyanyi ada hak masing-masing untuk bercakap mengenai apa juga yang mereka mahu luahkan dalam lagu.

“Saya sendiri lebih suka orang bercakap mengenai diri saya depan-depan daripada memfitnah saya dari belakang,” katanya.

Bagaimanapun, Joe tidak menggalakkan jika penyanyi rap berterusan menghasilkan lagu sebegitu sehingga mencetuskan rasa tidak senang terhadap orang lain.

“Ada masanya kena menghasilkan lagu yang mesejnya bagus seperti mana lagu terbaru saya Sampai Jadi. Apapun, kita mahu lagu itu meninggalkan kesan baik kepada masyarakat,” katanya.


Joe Flizzow baru melancarkan muzik video single melayu terbaru berjudul Sampai Jadi. FOTO OWEE AH CHUN

Joe berkata pada pelancaran muzik video lagu barunya itu arahan Zulmazran Hilmi.

Terdahulu, kecoh di media sosial Altimet dan Malique dikatakan berperang menerusi lirik lagu mereka selepas penyanyi berkenaan melancarkan lagu Mambang baru-baru ini.

Lirik lagu berkenaan dikatakan menyindir Malique yang sudah lama menyepikan diri daripada industri seni.

Kemudian, Malique kemudian didakwa membalasnya menerusi lagu anak didiknya Kmy Kmo dan Luca Sikta berjudul Gong Nekara yang dilancarkan beberapa hari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 7:54 PM