SUASANA belakang tabir ketika penggambaran filem Qhaliq penghujung tahun lalu.
QHALIQ, filem kempen kesedaran bomba.
ANTARA babak aksi memadamkan kebakaran.
LAKONAN Hairul dipuji pegawai bomba.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Filem kebombaan dianggap karya yang menyentuh kehidupan anggota bomba. Tidak dinafikan ia genre yang boleh dianggap unik dan boleh mencipta sejarah tersendiri, tetapi penonton tempatan masih ‘gilakan’ penceritaan yang ada elemen aksi, cinta, seram atau mungkin drama bagi menarik mereka ke pawagam.

Jadi, bagaimana filem sulung terbitan Ohhsem Network Sdn Bhd berjudul Qhaliq ini dapat memancing penonton?

Melalui suntikan elemen aksi, cinta dan drama yang diselang-selikan dengan rutin kerja pasukan bomba adalah jawapannya.

Untuk filem ini, pelakon utamanya, Hairul Azreen memegang watak sebagai Qhaliq bersikap serius, tetapi pada masa sama ‘nakal’.

“Qhaliq sangat komited dengan kerjayanya sebagai anggota bomba. Dilahirkan dalam keluarga berada, bapanya mahu Qhaliq mengikut jejak langkahnya, tetapi dia enggan.

“Pada masa sama, dia jatuh cinta dengan Qhalisya, gadis yang pernah bersama-sama membantunya menyelamatkan rakannya yang cuba membunuh diri kerana cinta,” kata Hairul.

Katanya, biarpun watak itu tidak seberat karakter di dalam filem aksi Paskal atau Polis Evo, dia optimis Qhaliq mampu memberi kelainan dari segi disiplin.

Tambahan pula, menerusi watak itu dia melakukan rutin latihan yang dilalui anggota bomba sebenar.

Antara yang dikongsi, latihan melawan kebakaran dan menangkap ular seperti yang dipaparkan di dalam beberapa babak filem itu.

Lebih manis, kata Hairul, dia turut mendapat pujian daripada pegawai bomba apabila berjaya menonjolkan tugas bomba sebenar.

“Ketika penggambaran, ketua bomba KL pun puji. Katanya saya berjaya bawa watak sebagai anggota bomba dan kru semua puji kata ‘ini barulah hero!’

“Kata-kata pujian mereka itu buatkan saya lebih bersemangat dan berasakan pengorbanan mengubah fizikal memang berbaloi,” katanya.

Pujian itu yang sudah lama diharapkan pelakon yang pernah mendapat jolokan ‘lelaki jambu’ dek wajah dan lakonannya yang sering diberi watak romantis dan ‘playboy’ sebelum ini.

Hairul berkata, Qhaliq memaparkan kebanyakan aktiviti yang biasanya dilakukan anggota bomba.

“Contohnya pada awal cerita, Qhaliq melakukan operasi menyelamat mangsa yang tersepit dalam kereta akibat kemalangan.

“Menerusi babak itu kita dapat lihat pelbagai peralatan yang dimiliki JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) serta teknik yang dilakukan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Risteena yang memegang watak Qhalisya, kekasih Qhaliq tidak melalui cabaran atau ujian getir sepanjang penggambaran kerana wataknya sekadar gadis nakal, tetapi baik hati.

Cuma, katanya, Qhalisya menyimpan rasa marah terhadap bapanya, Tuan Roslan, ketua balai bomba lakonan Ahmad Idham.

Kata Risteena, watak Qhalisya membuka matanya bahawa betapa besarnya pengorbanan ahli keluarga yang mempunyai ibu bapa bekerja sebagai anggota bomba.

“Selama ini kita hanya didedahkan dengan pengorbanan dilakukan anggota polis atau tentera. Keluarga mereka terpaksa berdepan pembahagian masa serta tanggung jawab antara keluarga dan kerjaya.

“Selepas berlakon dalam filem ini, baru saya sedar, besarnya pengorbanan mereka sehingga terpaksa mendahulukan orang luar berbanding keluarga sendiri,” katanya.

Selain menonjolkan pengorbanan dan hubungan persahabatan erat sesama anggota bomba, Qhaliq juga turut melaungkan kempen kesedaran keselamatan.

Qhaliq adalah salah satu kempen JBPM untuk membuka mata masyarakat melalui filem seperti pernah dilakukan produksi lain terhadap PDRM dan ATM.

Hal ini turut dipersetujui Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, PKPJB, Khirudin Drahman yang menyifatkan Qhaliq membawa agenda nasional yang cukup jelas.

Katanya, filem ini mempunyai mesej jelas berkaitan semangat setia kawan, kekeluargaan, kecintaan dan cabaran yang perlu dilalui mereka setiap hari.

Filem Qhaliq sepatutnya ditayangkan pada 5 April lalu, tetapi ditangguhkan ke satu tarikh lain kerana mahu memberi laluan kepada filem Dukun.

Pada masa ini, pihak produksi Ohhsem Network Sdn Bhd menyasarkan filem Qhaliq masuk ke lebih banyak pawagam tempatan pada penghujung April ini.

Selain Hairul dan Risteena, filem ini turut menampilkan lakonan hebat Aliff Yashraf, Ahmad Idham, Syanie Aida, Azza Elite, Nor Albaniah dan Hafiz Bahari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:05 AM