ANTARA babak dalam filem Roh Yang Tak Terlihat.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Mutakhir ini, beberapa filem seram daripada negara jiran, Indonesia semakin banyak menjengah masuk pawagam tanah air.

Antara diperkatakan adalah filem Pengabdi Setan yang turut menampilkan pelakon tempatan, Bront Palarae.

Selepas itu, muncul pula filem Mata Batin, Rumah Belanda, Bayi Ghaib dan terbaru, Mereka Yang Tak Terlihat (judul asal Roh Yang Tak Terlihat).

Roh Yang Tak Terlihat mencipta rekod tersendiri apabila mendapat pengiktirafan Museum Rekor Indonesia (MURI), tahun lalu.

Pengarahnya, Billy Christian berkata, pengiktirafan oleh MURI itu diberikan apabila filem terbabit mencipta rekod penampilan makhluk halus paling banyak dalam sebuah filem.

“Pada awalnya saya tidak menyangka akan menampilkan 67 roh dan hantu ketika menghasilkan filem ini.

“Secara jujurnya, ketika menghasilkan lakon layar untuk filem ini saya tidak mengira jumlah roh dan hantu yang akan ditampilkan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan babak dalam filem arahannya itu menampilkan banyak makhluk halus, sehingga dia diberitahu mengenai jumlah karakter mistik itu oleh pihak penerbit.

Bagaimanapun, rekod berkenaan bukan menjadi sasaran utama kerana kemunculan begitu banyak makhluk halus itu lebih kepada memperkuatkan jalan cerita.

“Apa yang ingin dipaparkan adalah keistimewaan watak utamanya yang mempunyai deria keenam dengan mampu melihat roh dan hantu di sekelilingnya.

“Itu yang terpaksa dilalui Saraswati sepanjang kehidupannya apabila sering berhadapan makhluk halus,” katanya.

Bagi pelakon utamanya, Estelle Linden yang membawakan watak sebagai Saraswati, untuk filem ini dia banyak mendapatkan maklumat daripada beberapa individu yang memiliki deria keenam.

Katanya, dia sering bertanyakan soalan kepada mereka, terutama perasaan masing-masing apabila memiliki kelebihan sebegini.


ESTELLE bawa watak Saraswati yang memiliki deria keenam.

“Ternyata cerita mengenai pengalaman yang dilalui mereka dan keunikan yang dimiliki itu banyak membantu saya untuk menghayati watak Saraswati,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya bergandingan dengan artis legenda, Sophia Latjuba, pelakon itu mengakui teruja dengan peluang itu.

“Sophia pelakon yang sangat baik, cuma hubungan kami tidak terlalu akrab kerana jarang bertemu, terutama ketika sesi bacaan skrip,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelakon iaitu Bianca Hello yang membawakan watak Laras iaitu adik kepada Saraswati dalam filem berkenaan memberitahu, terdapat beberapa pengalaman seram yang dilaluinya ketika penggambaran.

“Sepanjang penggambaran dilakukan, saya kerap dihantui dengan suara aneh yang agak menakutkan.

“Misalnya, ketika adegan untuk babak permainan jelangkung, saya terdengar suara aneh seperti orang menangis,” katanya mengakui dirinya seorang yang penakut.

Biarpun mengalami kejadian sedemikian, pelakon itu mengakui ia pengalaman yang menarik untuk terbabit dalam filem berkenaan.

Roh Yang Tak Terlihat menceritakan kisah sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu tunggal bernama Lidya (Sophia Latjuba) bersama dua anak perempuannya, Saraswati (Estelle Linden) dan Laras (Bianca Hello).

Saraswati, melalui zaman kanak-kanak yang berbeza daripda rakan sebaya kerana memiliki deria keenam atau disebut sebagai anak ‘indigo’.

Selepas ditayangkan di Indonesia pada tahun lalu dengan judul Mereka Yang Tak Terlihat, filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 12 April ini.

Roh Yang Tak Terlihat turut membariskan beberapa pelakon popular seperti Roweina Umboh, Dayu Wijanto, Frisly Herlind dan Aliyah Faizah.


ANTARA babak dalam filem Roh Yang Tak Terlihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 12:28 PM