DARI kiri, Aziz, Hashim dan Normasayu.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


Setiap filem tempatan yang ditayangkan di pawagam perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Skim Wajib Tayang (SWT).

Namun, sejak kebelakangan ini beberapa penerbit filem tempatan mula bersuara ketika filem mereka tidak mendapat jumlah panggung yang diinginkan.

Apabila filem mereka gagal di pawagam kerana jumlah panggung yang sedikit, pihak yang meluluskan jumlah panggung pula didakwa sengaja ‘lepas tangan’.

Penerbit turut mendakwa, ketidakadilan itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian selepas filem selesai tayangan.

Cuit Sikit minggu ini berkongsi pendapat pengarah dan penerbit filem wajarkah SWT diperincikan semula supaya sistem yang diwujudkan ini memberi ‘keadilan’ kepada pembikin filem tempatan.

Aziz M Osman (Pengarah & penerbit Ace Motion Pictures)

“SWT hanya berperanan untuk mewajibkan pihak pawagam menayangkan filem tempatan sekurang-kurangnya seminggu berbanding dua filem seminggu satu ketika dulu.

Ini membuktikan usaha FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) membela produser filem kita. Namun ‘wajib tayang’ bukan bermakna ‘wajib penonton’. Sebaliknya, ia adalah usaha produser filem pula untuk merebut peluang ini dengan menghasilkan filem ‘mesra penonton’.

Penonton menjadi penentu kepada kelangsungan sesebuah filem dan filem yang tiada sambutan kerana ditolak penonton, bukannya pawagam.

Pawagam adalah satu perniagaan dan lambakan filem luar di dalam pasaran filem tempatan kerana kehendak pasaran.

Bukan saja di pawagam, tapi juga di medium baru seperti YouTube, Netflix, iFlix dan sebagainya. Untuk melawan arus akan membuat kita ketinggalan dan ‘mati lemas’.

Jika perlu perincian semula, cungkil bakat pembikin filem generasi baru yang dipimpin pembikin yang sudah mempunyai rekod baik. Ketatkan syarat penerbitan filem untuk pawagam dan filem yang dirasakan ‘tidak boleh ditonton’ jangan dibenarkan ditayang di pawagam tetapi dihantar ke medium lain.”

Hashim Rejab (Pengarah)

“SWT diusahakan untuk mempertahankan produser filem Melayu dan ‘memaksa’ pemamer menerima filem Melayu untuk ditayangkan di panggung.

Namun, ada hadnya. Jika selepas tiga hari filem tak laku akan ‘ditendang’ keluar. SWT alat untuk tetapkan tarikh tayangan atas permintaan produser.

Saya rasa semua faham tugas SWT. Isu sekarang yang timbul sebab jumlah pawagam yang diberi kepada produser untuk tayangkan filem mereka. Produser perlu lebih panggung untuk mereka dapat pulangan semula.”

Datuk Normasayu Puteh (Penerbit Pencil Pictures & Records Sdn Bhd)

“Sebagai penerbit filem ‘kecil’, biasanya kami terpaksa berdepan tiada pembelaan sewajarnya apabila filem ‘ke laut’.

Apabila filem kami ‘ditendang’, ia dicampak begitu sahaja. Nak lawan pun tak boleh sebab itu hak panggung untuk berbuat demikian.

Waktu tayangan juga satu masalah iaitu memilih waktu bekerja kecuali filem itu terbitan Hollywood atau bajet besar sahaja.

Saya berharap SWT perlu diperincikan semula supaya jawatankuasa di dalamnya tidak bersikap ‘berat sebelah’.

Mereka seharusnya terdiri daripada peminat tegar filem, bukan pembikin atau orang dalam industri yang boleh menimbulkan kepentingan peribadi kecuali setiap ahli jawatan kuasa sudah menandatangani kontrak tertentu untuk tidak terbabit langsung dalam penghasilan filem tempatan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 12:35 PM