Khirudin anggap selaras dengan kempen bomba. FOTO fail HM
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Husaini menyifatkan penarikan filem Qhaliq, hari ini tepat pada masanya kerana tidak mahu agenda lain boleh memalingkan kempen asal kesedaran bomba yang wujud di dalam filem ini.

"Atas perbincangan bersama, kami tidak mahu merosakkan agenda asal filem ini, jadi lebih baik tarik diri untuk dapatkan tarikh baru.

"Kami hanya bawa agenda nasional sebagai salah satu kempen bomba dan kalau filem Qhaliq dapat (tayang) dalam masa terdekat ia selaras dengan kempen kami," katanya pada sidang media, hari ini.

Hadir sama penerbit eksekutif filem Qhaliq, Hafiz Fauzi dan pengarah dan pengedar filem itu, Ahmad Idham Nadzri.

Apatah lagi, filem itu mempunyai mesej jelas kehidupan anggota bomba seperti semangat setia kawan, kekeluargaan, kecintaan dan cabaran dilalui mereka setiap hari.

Beliau berkata, pertembungan antara dua filem tempatan boleh menyebabkan penonton tempatan berpecah lantas mengakibatkan situasi kalah-menang berbanding menang-menang sepatutnya berlaku.

Khirudin berkata lagi, pada masa ini kempen kesedaran komuniti kebombaan akan diteruskan seperti biasa agar filem Qhaliq akan memberi impak yang maksimum.

Beliau akui Jabatan Bomba dan Penyelamat memberi kerjasama penuh di segi teknikal dan khidmat nasihat kepada filem terbabit.

Ditanya tarikh tayangan yang dirasakan bersesuaian dengan tempoh kempen mereka, beliau berharap Qhaliq dapat ditayangkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang biarpun berdepan dengan kebarangkalian tindakan oleh Skim Wajib Tayang (SWT).

Filem yang menarik diri daripada tarikh tayangan ditetapkan SWT perlu menanti tempoh enam bulan dan dikenakan penalti.

Penarikan tayangan filem terbitan Ohhsem Network Sdn Bhd itu disahkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Skim Wajib Tayang (SWT), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 9:05 PM