MESTICA
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Konsert pertama Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Sabtu lalu menyaksikan peserta solo lebih cemerlang menguasai pentas.

Keputusan juri tetap GGV, Farihin Abdul Fattah, Oki Setiana Dewi dan juri jemputan, Datuk Ramli MS meletakkan dua penyanyi bukan nasyid iaitu Adeep Nahar dan Awi Rafael di dua tempat teratas agak mengejutkan sekali gus mengetepikan kumpulan nasyid otai seperti Brothers, InTeam dan Mestica.

Oki berkata, dalam persembahan minggu pertama ini, dia melihat peserta solo lebih menguasai pentas berbanding peserta berkumpulan.

“Berbeza tahun lalu apabila peserta berkumpulan lebih kuat sehingga saya lebih memberi fokus kepada mereka berbanding peserta solo,” katanya.

Oki mengakui dia seorang yang mudah mengalirkan air mata jika setiap persembahan itu mengusik jiwanya.


ADEEP menguasai pentas minggu pertama.

Namun, kali ini persembahan mereka tidak berjaya memberi kesan kepadanya walaupun mereka membawa lagu sedih.

Oki berkata, dia mahu mereka menyampaikan lagu dengan lebih menyayat hati, syahdu dan paling penting sampai ke hati pada konsert minggu kedua minggu depan.

Persembahan pembukaan dimulakan dengan kumpulan InTeam yang menyampaikan lagu popular mereka, Kasih Kekasih dengan susunan muzik unik diiringi petikan sitar berserta sedikit elemen cinta Taj Mahal.

Seterusnya, Awi Rafael pula menyampaikan lagu ciptaannya berjudul Manusia Sempurna yang pernah dipopularkan Ayai Ilusi sebelum ini.

Bagi persembahan Awi, Oki berpendapat persembahannya bukan saja menarik tetapi lirik dan vokal dimiliki memberi kesan tersendiri.

Persembahan ketiga daripada kumpulan baru, Rabithah yang popular dengan lagu Jalan Keluar yang juga lagu runut bunyi drama Kerna Syurga Bukan Percuma.

Juri jemputan, Datuk Ramli MS berkata, persembahan Rabithah seolah-olah cuba berlumba antara satu sama lain sehingga menenggelamkan melodi lagu.

Beliau menasihatkan kumpulan itu supaya lebih faham dengan peranan vokal masing-masing.


DEVOTEES

Duo adik-beradik, Heliza dan Hazwani Helmi pula mengejutkan penonton dan juri melalui persembahan mantap lagu Jom Selawat yang turut disahut penonton untuk berselawat.

Persembahan lain adalah daripada Devotees dengan lagu Kekasih, Adeep Nahar (Izinkanlah), Mestica (Sallahudin Al Ayubi), Fitri Haris (Ainul Mardhiah), Ippo Hafiz (Kekal Bahagia).

Selain itu, selepas lebih sedekad berehat dari dunia hiburan, penyanyi Farah Asyikin memberikan kejutan dengan vokal mantap melalui lagu yang pernah dipopularkannya Kembali Lagi Disisimu.

Persembahan terakhir oleh Brothers dengan lagu Teman Sejati mengundang rasa sedih juri dan penonton apabila sebuah kerusi dibiarkan kosong sebagai tribute kepada rakan mereka, Allahyarham Mohd Salleh yang meninggal dunia dua tahun lalu.


DUO adik-beradik, Heliza (kanan) dan Hazwani tunjukkan persembahan mantap.

Dalam pada itu, Farihin berkata, minggu pertama ini adalah minggu ‘mengah’.

“Ada beberapa peserta berkumpulan yang pada awal persembahan nampak ‘mengah’ tetapi bukan sebab mereka tidak cergas. Ada peserta yang bertubuh besar nampak okey tetapi yang kurus pula kelihatan ‘mengah’.

“Ia bukan faktor fizikal, tetapi mungkin kerana perlu latihan vokal yang lebih serius sebelum buat persembahan,” katanya.

Farihin berkata, setiap peserta perlu tahu kelebihan masing-masing supaya sama-sama dapat naik serta bersaing dengan lebih hebat.

Dia memberi contoh kemenangan Adeep Nahar pada malam itu bukan sebab dia seorang guru vokal, tetapi kerana dia tahu teknik yang betul.

Farihin meminta setiap peserta belajar daripada peserta lain yang ada kelebihan sendiri. Malah peserta yang ada kelebihan juga perlu membantu peserta lain untuk sama-sama naik.

GGV pada Sabtu lalu menyaksikan semua 11 peserta berjaya mara ke minggu kedua. Untuk minggu kedua, setiap peserta mendapat tugasan lagu yang dianggap mudah tetapi masa sama sukar dek genre yang agak asing bagi mereka.

Adeep mendapat lagu Hijau, nyanyian asal Datuk Zainal Abidin, Awi Rafael (Opick), Heliza dan Hazwani (Standing In The Eyes Of The World/Ella), Fitri Haris (Malaikat/Hazama), Mestica (Surat Cinta Untuk Starla/Virgoun) dan Brothers (Kekasih Awal dan Akhir/Datuk Jamal Abdillah).


FARAH Asyikin

Farah Asyikin pula mendapat lagu Hitam Putih Kehidupan nyanyian asal Datuk Sheila Majid, Ippo Hafiz (Rapuh/Opick), Rabithah (Semangat Yang Hilang/XPDC) dan Devotees pula lagu Sempurna oleh Andra & The Backbones.

Juara bakal merebut hadiah wang tunai berjumlah RM100,000, manakala naib juara RM30,000 dan tempat ketiga, RM20,000.

GGV bertemakan Gema Irama Terindah bersiaran setiap Sabtu jam 9 malam di saluran Astro Oasis (saluran 106) dan Maya HD (saluran 135) diacarakan Siti Nordiana, Fakhrul UNIC dan Fikry Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 12:37 PM