BUNKFACE
RIBUAN pengunjung membanjiri tapak konsert Gegaria.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Gamat pekarangan Pusat Pameran & Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu apabila lokasi itu dijadikan tapak Konsert Gegaria.

Menampilkan barisan artis dan band hebat tanah air iaitu Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Bittersweet dan Bunkface, konsert yang berlangsung di lokasi kelima Gegaria Fest anjuran Media Prima Berhad itu nyata menarik perhatian ramai muda mudi.

Antara yang mendapat sorakan paling ‘havoc’ daripada penonton adalah Kugiran Masdo yang berjaya membuatkan penonton seakan terkena histeria.

“Sepanjang lima lokasi Konsert Gegaria berlangsung, rasanya ini paling gamat! Penonton juga sangat ‘sporting’,” kata Ali Sariah selaku vokalis Kugiran Masdo.

Tambahnya, Kugiran Masdo tidak menyangka ada peminat yang sanggup datang dari Ipoh dan Negeri Sembilan untuk menyaksikan persembahan mereka.

“Ada peminat dari negeri berhampiran memaklumkan mereka akan hadir menyaksikan persembahan kami.

“Sejujurnya kami sangat menghargai sokongan mereka dan terima kasih kami ucapkan kerana terus setia bersama kami,” katanya.


KUGIRAN Masdo mendapat sorakan dan tepukan gemuruh

Di konsert berdurasi dua jam itu, Kugiran Masdo yang dianggotai Ali bersama tiga anggota lain iaitu Asmawi selaku gitaris, Putu Ceri (bes) dan Azham (pemain dram) mempersembahkan lima lagu popular mereka antaranya Selamat Tinggal Pujaan, Bunga dan Berchanda di Malam Indah.

Selain itu, band popular yang boleh digelar sebagai ‘otai’ pada malam itu iaitu Bittersweet tidak mahu mengalah walaupun selepas setahun tidak berpanggung di pentas besar sebegini.

Gitarisnya, Herri mewakili anggota Bittersweet yang lain berkata, Konsert Gegaria adalah platform terbaik untuk menjadi ruang buat band-band bersatu membuat persembahan.

“Penganjuran acara konsert sebegini patut dipuji kerana ia percuma dan terbuka kepada orang ramai dan pada masa sama menjadi medan untuk band serta penyanyi solo bersatu membuat persembahan,” katanya.


BITTERSWEET

Walaupun selepas setahun tidak beraksi di depan khalayak berjumlah puluhan ribu seperti malam itu, Bittersweet masih berjaya menunjukkan ‘taring’ mereka.

“Rasa janggal itu tentunya ada kerana sudah setahun kami tak muncul di pentas dan ditonton penonton seramai ini. Tapi semuanya berjalan lancar.

“Kami sendiri pun terpegun apabila lihat ada peminat muda yang sama-sama menyanyikan lagu-lagu kami,” katanya.

Selain Herri, Bittersweet masih membariskan anggota asalnya iaitu Fizan selaku vokalis, Munzir (gitaris) dan Emai (pemain keyboard).

Mereka mempersembahkan lagu-agu popular iaitu Control, Down To Me, Hilang dan tentunya lagu wajib, Mucing Hitam.

Dihoskan Issey dan El Hot FM, GegaRia kali ini turut dimeriahkan artis popular lain termasuklah Wani Kayrie, Faizdickie, Reen Rahim, Eyka Farhana dan ramai lagi yang membuat penampilan pada sebelah siang.


BITTERSWEET

Konsert GegaRia turut menyaksikan kemunculan maskot karakter Ejen Ali yang mencuri tumpuan penonton.

Selain konsert, acara GegaRia Fest juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

GegaRia Fest sebelum ini diadakan di Ipoh, Perak dan diikuti Seremban 2, Negeri Sembilan pada 7 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 11:28 AM