OH Yeon Seo.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Pertemuan semasa sama-sama terbabit dalam penggambaran drama bersiri Hwayungi pada awal Mac lalu membenihkan bibit cinta antara pelakon Oh Yeon Seo dengan aktor kacak Kim Bum.

Cinta berputik di set penggambaran bukan hanya terkenal di Malaysia malah di luar negara juga turut menjadi ‘trend’. Barangkali sudah tertulis jodoh mereka untuk bertemu di lokasi penggambaran.

Agensi yang mewakili pasangan pelakon terkenal Korea Selatan ini mengesahkan hubungan mereka seperti dipetik daripada laporan Soompi.

Pasangan sama cantik sama padan itu dikatakan mula rapat selepas pengambaran drama Hwayungi berakhir.

Pihak agensi Oh Yeon Seo, Celltrion Entertainment turut menyatakan pasangan ini bermula sebagai rakan artis dan kini saling mengasihi.

“Selepas drama Hwayugi berakhir pada awal Mac lalu, mereka mula akrab dan keluar bersama dalam sebuah acara hiburan.

“Persahabatan mereka bercambah menjadi hubungan asmara. Mereka saling melengkapi dan menyayangi,” kata agensi yang menaungi Oh Yeon Seo.

Bagaimanapun, menurut agensi yang menguruskan Kim Bum, Starship Entertainment, hubungan pasangan ini masih di peringkat awal dan mereka kini sedang mengenali hati budi masing-masing.

“Hubungan mereka masih awal, kita doakan yang terbaik,” kata wakil Starship.

Kim Bum terkenal sebagai artis serba boleh. Dia mencipta nama sebagai aktor, penyanyi, penari dan model. Bakatnya mula dipandang selepas kejayaannya melakonkan watak So Yijung dalam drama Boys Over Flowers.

Sementara itu, Oh Yeon Seo memulakan karier seni dengan menyertai kumpulan LUV. Kemudian, dia mengintai peluang dalam dunia lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 11:15 AM