PADI Reborn selepas salah satu konsert mereka di Indonesia.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Satu ketika dulu, bait lagu Menanti Sebuah Jawaban tidak hanya menjadi siulan mereka yang dilamun cinta, tetapi juga kegemaran semua peminat kumpulan Padi.

Seiring waktu, kumpulan yang dianggotai Piyu (gitar), Fadly (vokalis), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (drum) semakin kurang aktif dalam penghasilan lagu baru.

Bagaimanapun, lima sahabat itu kembali memacu karier mereka dan bakal mengadakan konsert Padi Reborn Exclusive Live In KL di KL Live pada 30 Jun ini.

Berita ini pastinya menggembirakan peminat mereka yang digelar Sobat Padi di sini.

Ditubuhkan pada 1997, kumpulan berasal dari Surabaya, Indonesia ini kini berdiri atas nama Padi Reborn.

Menjanjikan konsert yang luar biasa, antara lagu yang akan mereka sampaikan ialah Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Begitu Indah dan Kasih Tak Sampai.

Piyu berkata, mereka sangat terharu dan gembira kerana ini kali pertama mereka mengadakan konsert solo menggunakan nama Padi Reborn.


AKSi Fadly (kanan) bersama Piyu dalam konsert mereka.

“Persembahan kami di Malaysia adalah lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah berhenti menyokong kami dalam apa jua keadaan.

“Kami berharap Sobat Padi di Malaysia akan sama-sama bergembira dengan kami pada malam konsert itu nanti. Sesungguhnya, kami sangat terharu dapat mengadakan konsert ini,” katanya.

Sementara itu, kumpulan Pitahati yang terdiri daripada Ilham, Yasin, Masrin, Zahar dan Hidayat menjadi artis pembuka memeriahkan lagi konsert berkenaan.

Tiket untuk menikmati untaian indah Padi Reborn Exclusive Live In KL sudah mula dijual dengan harga RM149 (pembelian awal) atau RM179 untuk standard (Platinum) dan sesi ramah mesra pula bagi pembelian awal ialah RM249 atau RM290 untuk standard.

Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 3:40 AM