Hairul kerap bawa watak anggota beruniform dan terbaru dengan watak Qhaliq. FOTO HALIM SALLEH/SYAZANA ROSE RAZMAN
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PELAKON Hairul Azreen Idris, 29, akui terbawa-bawa perwatakan serius dalam diri tanpa disedari akibat penangan membawa watak pegawai dalam beberapa filem berkaitan anggota beruniform.

"Ketika penggambaran drama Pelangi Cinta baru lalu, saya ditegur beberapa rakan pelakon yang mengatakan perwatakan saya terlalu serius padahal watak dibawa seorang yang romantis dan 'cheeky'.

"Kemudian saya sedar, ia berkemungkinan berpunca daripada watak pegawai beruniform yang saya lakonkan untuk tiga filem berkaitan 'back-to-back' (tanpa henti)," katanya.

Hairul ditemui pada tayangan perdana filem terbaru berjudul Qhaliq, semalam, berkata hal itu turut membuatkan dia memarahi anaknya, Yusuf Iskandar, dua tahun seperti seorang pegawai tentera tatkala anaknya itu menjadi nakal.

Katanya, dalam filem Qhaliq, dia membawa watak seorang pegawai bomba manakala dalam filem Paskal yang masih dalam proses penggambaran dia membawa watak seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari unit komando Paskal.

Malah dia juga memegang watak pegawai polis dari Unit Tindakan Khas dalam filem Polis Evo 2 yang masih di dalam proses suntingan.

Bagi meringankan perwatakan serius dan aksi dianggap memenatkan mental dan fizikalnya itu, Hairul merancang untuk berehat seketika dalam dunia lakonan pada satu tempoh yang belum ditentukan lagi dan keluar bercuti bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:17 PM
Skip this ad x