Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Hanya tinggal kurang sebulan saja lagi, peminat Anuar Zain, Bunga Citra Lestari (BCL) dan Yuka Kharisma berpeluang menyaksikan konsert mereka bertiga di negara ini.

Konsert istimewa Anuar Zain, BCL & Yuka Kharisma Live In Concert itu akan berlangsung pada 28 April ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), jam 8.30 malam.

Dibawakan Kharisma Entertaiment milik Yuka, ia diakui sebagai langkah awal penyanyi itu ke arah mewujudkan kerjasama padu di antara Malaysia dan Indonesia.

Yuka ketika ditemui pada sesi fotografi bersama BCL di Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia mempunyai satu impian besar yang mahu dilaksanakan.

“Sebenarnya, saya melihat perkembangan muzik di Malaysia dan Indonesia ketika ini tidak jauh bezanya. Cuma, pasaran di Indonesia lebih luas.

“Dari aspek penghasilan lagu, ternyata genre muzik diketengahkan hampir sama mengikut perkembangan arus dan cita rasa pendengar.

“Inilah keunikan pada karya seni berteraskan muzik serumpun. Lagunya sedap didengar dan kebanyakan lagu dinyanyikan penyanyi popular dari Indonesia boleh diterima baik peminat muzik di negara ini,” katanya.

Menurut Yuka, jika peminat di Malaysia bersikap terbuka untuk menerima, semestinya perkara yang sama juga perlu dilakukan penggemar muzik di Indonesia.

“Saya mulakan dengan penganjuran konsert ini sebagai langkah ‘buka pintu’ kerjasama lebih banyak pada masa akan datang di antara Malaysia dengan Indonesia.

“Saya juga bercita-cita dan menyimpan impian untuk menganjurkan konsert berskala besar seperti ini di Indonesia dengan membawa penyanyi terkenal Malaysia.

“Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan kemunculan ramai penyanyi baru berbakat besar dan lagu mereka popular. Saya yakin ada peminat di Indonesia pun tahu.

“Bagaimanapun, jika tiada pihak yang berusaha seperti saya untuk mencuba nasib, ia takkan ada perubahan. Jadi, saya kenalah mulakan dan mencuba,” katanya.

YUKA.

Bagaimanapun, Yuka mengharapkan konsert itu nanti berjaya dan mendapat sambutan hangat.

Berbicara mengenai pemilihan Anuar dan BCL, ibu seorang anak yang bertemu jodoh dengan lelaki Malaysia ini berkata, dia sangat kagum dengan bakat nyanyian kedua-dua ‘superstar’ itu.

Menurut Yuka, persembahan dijangka berlangsung selama dua jam dan mereka menjanjikan persembahan menarik termasuk rangkuman lagu popular daripada Anuar dan BCL yang menjadi pilihan penyanyi itu.

Harga tiket untuk konsert trio itu merangkumi pakej seperti Intimate (RM2,199), Platinum (RM1,599), Diamond (RM588), Gold (RM488), Silver (RM388), Bronze (RM288) dan Regular (RM188).

Maklumat lanjut mengenai konsert, sila layari www.yuka.com.my dan www.tickethotline.com.my.

BCL cukup teruja

Menganggap ia peluang keemasan yang perlu direbut membuatkan BCL tidak ambil masa lama untuk bersetuju terbabit dalam konsert berkenaan.

Apatah lagi, dia mahu menghiburkan kelompok peminatnya di negara ini selain sebagai persembahan istimewa buat keluarga.

Isteri kepada pelakon Ashraf Sinclair ini berkata, kerjaya seninya sebagai penyanyi dan pelakon memang sudah tidak asing di Indonesia.

“Begitu juga di Malaysia, memang ramai juga sudah tahu saya aktif menyanyi dan berlakon. Cuma peluang menonton saya beraksi menyanyi di pentas itu belum ada.

“Jadi, saya akui sangat teruja untuk membuat persembahan dalam konsert ini yang juga kali pertama saya lakukan di Malaysia,” katanya.

BCL yang bakal menyanyikan sembilan hingga 11 lagu berkata, dia yakin konsert itu mendapat sambutan.

“Saya sudah biasa membuat konsert di Indonesia dan berjaya. Jadi, untuk konsert di Kuala Lumpur ini saya meletakkan kayakinan sama yang ia akan berjaya.

“Apa yang saya akan pastikan, penonton terhibur dan rasa berbaloi dengan pembelian tiket. Saya seorang yang komited pada tanggungjawab kerja.

“Bukan mudah juga mendapat peluang begini. Selain menghiburkan penonton, pembabitan dalam konsert ini juga diharapkan dapat menbantu mengukuhkan nama saya di sini,” katanya.

BCL.

Pelakon filem biografi Habibie & Ainun ini berkata, memandangkan Malaysia juga adalah ‘rumah keduanya’, dia akan berusaha membuat persembahan terbaik.

Enggan membuat penonton kecewa, BCL akan memastikan pemilihan lagu dibuat sesuai dengan masyarakat Malaysia.

Katanya, dia akan menyanyikan lagunya yang popular di negara ini.

Sudah sedekad melayari bahtera rumah tangga bersama Ashraf, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Sejati dan Wanita Terbahagia ini berkata, suaminya adalah insan yang paling gembira.

Katanya, sebaik diberitahu dia akan terbabit dalam konsert di negara ini, Ashraf mengucapkan tahniah dan minta tampilkan persembahan terbaik buat penonton di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 1:32 AM