Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


LEBIH 25,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan Konsert GegaRia berlangsung di perkarangan Bulatan Amanjaya, Meru, Ipoh malam ini.

Pada acara kemuncak di lokasi keempat GegaRia Fest anjuran Media Prima Berhad itu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Noh Salleh, SonaOne, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Seawal jam 7 malam, pengunjung sudah mula memenuhi perkarangan dataran untuk mendapatkan ruang terbaik untuk menonton konsert yang bermula jam 9 malam.

Lebih mengujakan pengunjung turut mengikut rentak irama kumpulan penghibur kegemaran mereka beraksi di pentas menjadikan konsert itu gamat.

SonaOne yang pertama kali turut serta di acara ini mempersembahkan tiga lagu popularnya iaitu No More, Hakeleh dan Firefly berkata, respon penonton memberi semangat buatnya memberikan persembahan terbaik.

“Penonton di sini sangat bertenaga. Paling mengejutkan ada pelbagai lapisan usia turut bersama-sama menyanyikan lagu-lagu saya sampaikan,” katanya kepada Harian Metro.

Dihoskan Ammar dan Deen Hot FM, GegaRia kali ini turut dimeriahkan artis popular lain termasuklah Elfira Loy, Faizdickie, Nabila Razali, Ramona Zam Zam dan ramai lagi yang membuat penampilan pada sebelah siang.

Konsert GegaRia turut menyaksikan kemunculan maskot karakter Ejen Ali yang mencuri tumpuan penonton.

Selain konsert, acara GegaRia Fest juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

GegaRia Fest sebelum ini dijayakan di Kuantan, Pahang dan acara selepas ini akan berlangsung di Pusat Pameran & Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur pada 31 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 10:48 PM
Pengunjung membanjiri konsert Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru, malam ini. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA