KUGIRAN Masdo tarikan utama dalam Konsert #gogegaria malam ini.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Festival Gegaria yang mendapat sambutan hangat di Setia Alam, Johor Bahru dan Kuantan kini diteruskan ke Ipoh pula.

Lokasi kali ini di Bulatan Amanjaya, Meru yang bermula hari ini dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Apa yang menarik, ia tentunya menggamit ramai pengunjung terutama golongan muda menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Acara paling ditunggu-tunggu pastinya Konsert #gogegaria jam 9 malam ini yang menampilkan SonaOne, Noh Salleh, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Selain itu, bagi pengunjung ‘kaki makan’, Gegaria kali ini tentunya menjadi lokasi terbaik kerana anda bakal disajikan pelbagai juadah oleh pengusaha trak makanan.

Antara yang disajikan adalah stimbot, laksa dan tentunya kopi klasik Ipoh yang menjadi sebutan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi masakan oleh Cef Fikree Aznan dan Cef Naem Ramli di samping mendapatkan barangan cenderahati oleh Jalan Jalan Cari Makan (JJCM).

BUNKFACE terus menjadi pilihan penonton

Acara lain antaranya Gegaria Throwback Tunnel yang memberi peluang kepada pengunjung untuk kembali ke masa lalu dan melihat sendiri pelbagai karya seni pop art dan vintaj.

Bagi mereka yang gemarkan pemainan video, ruang Gegaria e-Games semestinya menjadi ruang pilihan dengan pelbagai permainan seperti FIFA Online 3 yang memberi peluang kepada anda untuk memenangi hadiah bernilai RM10,000.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti tanah air termasuk Nabila Razali, Elfira Loy, Faizdickie dan Nadia Brian.

FAIZDICKIE (kiri) ketika di Festival Gegaria, Setia Alam, baru-baru ini.

Faizdickie yang terbabit di semua lokasi sejak Gegaria berlangsung, bakal berkongsi ilmu di ruang Gegaria Lifestyle mengenai minat dan kerjaya.

“Insya-Allah, saya akan kongsikan beberapa ilmu yang ada dengan pengunjung. Antara yang saya akan kongsikan adalah cara menukar minat dan hobi menjadi kerjaya sekali gus memberi manfaat dari sudut kewangan,” katanya.

Tidak sekadar berhibur, pengunjung Gegaria Ipoh juga berpeluang melakukan beberapa aktiviti lain antaranya pemeriksaan status pilihan raya, laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemeriksaan kesihatan.

ELFIRA Loy turut meriahkan Gegaria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 2:33 AM