Ismail terima reaksi luar menerusi lagu Luar Biasa. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/Youtube
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI, Ismail Izzani, 18, tidak pernah menjangkakan sambutan menggalakkan untuk single terbarunya, Luar Biasa sehingga ada beberapa saluran YouTube luar negara membuat video reaksi kepada video muzik lagu itu.

“Saya pun baru dapat tahu ada beberapa saluran YouTube yang sering membuat video reaksi kepada lagu-lagu antarabangsa turut membuat video reaksi terhadap lagu Luar Biasa,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Ismail popular menerusi lagu Sabar iaitu ciptaannya hasil kolaborasi bersama Alif Sleeq setidak-tidaknya dapat membuka mata penggemar dari luar negara untuk melihat karya seni dari negara ini.

“Saya tak melihat apa yang berlaku akan memberi manfaat kepada saya saja tetapi untuk seluruh industri.

“Apabila orang luar sudah mula nampak karya dari Malaysia dan mereka sukakannya tentunya mereka akan terus mencari dan ingin melihat lebih banyak lagi hasil seni dari negara ini.

“Sedikit sebanyak, saya berharap agar hasil itu dapat membuka mata dunia dan memberitahu mereka bahawa kita ada karya-karya berkualiti serta setanding dengan karya antarbangsa,” katanya.

Walaupun baru enam hari dimuat naik ke YouTube, sambutan yang diterima juga luar biasa, sesuai dengan judulnya dan sudah ditonton hampir dua juta kali.

Menampilkan rentak lebih rancak berbanding lagu-lagunya sebelum ini, Ismail memberitahu bahawa ini adalah kelainan ditampilkan untuk tahun ini.

“Selain lebih rancak dan mendapat suntikan lebih urban, saya juga menari dalam video muzik itu. Jadi, ada kelainan yang saya tampilkan untuk lagu baru ini.

“Insya-Allah, selepas ini akan ada lagi single yang bergenre sama dan lebih sesuai dengan remaja seusia saya tetapi pada masa sama untuk lapisan masyarakat lain juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 12:39 PM