ISU antara SWT, Ahmad Idham tidak sepatutnya berlarutan.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Datuk Jurey Latiff Rosli terpanggil untuk memberi komen susulan isu Skim Wajib Tayang (SWT) yang dibangkitkan pengarah filem Hantu Wangan, Ahmad Idham sejak minggu lalu.

“Isu SWT yang didakwa sebagai pembunuh filem Melayu menjadi semakin panas apabila wujud kenyataan balas cabar-mencabar antara Ahmad Idham dan Pengerusi SWT.

“Situasi ini amatlah tidak sihat serta memburukkan lagi keadaan dan saya menasihati FINAS sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam industri perfileman diharap tidak membiarkan isu ini berlarutan dengan bertindak segera mencari titik persamaan penyelesaian isu dibangkitkan Ahmad Idham,” katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) itu mendakwa sebelum ini memang sudah diadakan perbincangan tetapi tiada persetujuan mengenai jumlah pawagam yang dimohon Ahmad Idham.

SWT mengikut akta FINAS sepatutnya dapat menjamin hak penerbit filem tempatan untuk mendapat tayangan di semua pawagam seluruh negara tanpa ada pengecualian.

Jelasnya, pawagam wajib menayangkan filem yang diluluskan LPF dan yang memohon tayangan melalui SWT FINAS.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan sudah jelas membantu industri perfileman sepatutnya tiada masalah untuk memastikan Ahmad Idham mendapat jumlah pawagam yang dipohon.

“Ahmad Idham dan penerbit filem kecil ini wajib dibantu bagi memastikan mereka dapat bersaing menghasilkan filem tempatan selain daripada syarikat perfileman besar yang menguasai pasaran filem tempatan.

“Isu dibangkitkan Ahmad Idham mewakili penerbit filem tidak boleh dipandang remeh. Oleh itu, FINAS perlu cari penyelesaian demi kepentingan industri,” kata Jurey lagi.

Sebelum ini, Ahmad Idham menyatakan kekecewaannya susulan pelaksanaan SWT yang didakwa tidak adil ke atas penerbit filem kecil yang sering diberi sejumlah kecil panggung untuk filem terbitan mereka.

Malah filem terbaru arahannya turut terkesan apabila diberi 29 panggung sahaja pada peringkat awal sebelum terpaksa membuat rayuan sebanyak tiga kali yang akhirnya ditambah kepada 43 panggung seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 12:04 PM