BABAK dalam Lee Chong Wei.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Menggarap karya yang mengangkat perjalanan hidup jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pasti antara yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.

Buktinya, reaksi penonton pada malam gala filem arahan Teng Bee ini baru-baru ini, rata-rata terbuai emosi apabila naskhah itu sarat dengan nilai kasih sayang, pengorbanan, perjuangan, ikatan kekeluargaan dan semangat cintakan negara.

Menerusi karya berdurasi 110 minit ini, orang ramai dapat melihat kesungguhan Chong Wei mengabdikan diri kepada sukan badminton.

Banyak babak menarik yang membawa khalayak menyelami kisah hidup beliau. Ketika zaman kanak-kanak, Chong Wei gemar bermain badminton sehingga menggunakan ‘kuali’ sebagai raket. Meskipun dilahirkan dalam keluarga susah, minat Chong Wei tidak pernah padam malah dia menjadikan Datuk Misbun dan adiknya, Jalani Sidek sebagai idola.

Meskipun awalnya aspirasi Chong tidak mendapat restu bapanya, ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk bergelar bintang badminton. Lepas melalui beberapa dugaan, akhirnya dia mendapat lampu hijau apabila bapanya mengizinkan dia mengikuti kelas latihan sukan terbabit.

Chong Wei mencipta nama apabila memenangi pelbagai pertandingan malah dia mengharumkan nama Malaysia ke seluruh dunia. Namun, di sebalik semua kejayaan itu tersembunyi pelbagai kisah meruntun hati.


BABAK dalam Lee Chong Wei.

Filem ini tidak saja menghiburkan, juga sarat dengan mesej positif. Malah, ia rujukan terbaik untuk anak muda yang selama ini mengangkat Chong Wei sebagai hero mereka. Ia naskhah yang berbaloi untuk ditonton dan mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Apa yang pasti filem ini tentu menyatukan setiap bangsa dan menghargai perjuangan ditunjukkan pemain tersohor dunia itu, manakala yang muda pula mampu menyerap segala semangat dikongsi legenda terbabit.

Persembahan bintang baru yang wajahnya mirip Chong Wei, Tosh Chan wajar dipuji. Biarpun ini kemunculan sulungnya di layar lebar, lakonannya tidak menghampakan. Andai diberi lebih ruang, tidak mustahil anak muda ini melakar kejayaan tersendiri dalam dunia lakonan.

Kehadiran Datuk Rosyam Nor sebagai Misbun memberi nilai tambah terhadap filem ini dengan keberkesanan lakonannya.

Apa yang boleh dikatakan, perasaan sedih, kagum dan berdebar diadun dengan baik oleh Teng Bee untuk membuatkan khalayak setia menyaksikan kisah hidup serta perjuangan Chong Wei hingga hujung tayangan.

LEE CHONG WEI

• PENGARAH: Teng Bee

• PELAKON: Tosh Chan, Ashley Hua, Jake Eng, Mark Lee, Yeo Yann Yann, Datuk Rosyam Nor, Datuk Norman Pang dan Rykarl Iskandar

• GENRE: Drama biografi

• DURASI: 110 minit

• TAYANGAN: 15 Mac 2018

• ULASAN: Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 4:55 AM