Tam bersama isteri, Aida dan dua anak. FOTO Ihsan Tam Spider
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


DOA dan impian penyanyi Tam Spider untuk menimang cahaya mata perempuan termakbul apabila isterinya, Aida Mustafa, 36, bakal bersalin anak perempuan bulan depan.

Tam atau Rustam Mustafa, 45, berkata, dia menganggap kelahiran anak ketiga menerusi perkahwinan dengan Aida adalah rezeki dan nikmat yang tidak terhingga.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki. Menerusi perkahwinan pertama saya dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 24 tahun. Dengan Aida, Allah SWT berikan dua lagi anak lelaki.


Tam bersama dua anak lelaki hasil perkahwinan kedua, Afiq dan Aqil. FOTO Ihsan Tam Spider

“Apabila isteri disahkan hamil tahun lalu, saya sangat gembira dan teruja. Malah, jauh di sudut hati alangkah seronok jika dapat anak perempuan. Allah SWT mendengar doa saya dan isteri.

“Sehinggakan, setiap kali bawa isteri buat pemeriksaan kesihatan, mesti tanya jantina bayi. Saya berdoa semoga semuanya dipermudahkan dan dalam keadaan sihat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tam yang terbabit dalam program Mentor Otai, dia cuba mencuri dan memberikan masa untuk isteri yang bakal bersalin, walaupun sibuk dengan kerjaya dan program realiti itu.

“Ini bukan pengalaman baru untuk saya. Jadi, saya sudah tahu macam mana nak kawal. Namun, disebabkan terbabit dengan program Mentor Otai, saya perlu bahagikan masa dengan baik.

“Apatah lagi, selama ini urusan rumah tangga diuruskan isteri sendiri. Saya tidak mahu dia banyak bekerja. Mujur anak sudah besar, jadi sudah pandai berdikari,” katanya.


Tam bersama anak sulungnya, Aliff. FOTO Ihsan Tam Spider

Tam dan Aida berkahwin pada 8 November 2009 dan dikurniakan dua anak lelaki Muhammad Afiq, 8, dan Muhammad Aqil, 5.

Menerusi perkahwinan pertama Tam pula, dia kurniakan anak lelaki, Muhd Aliff yang kini berusia 24 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 12:03 PM