ISMAIL (kiri) dan Ariff bakal beraksi.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Karnival Usahawan Muda Malaysia 2018 yang akan berlangsung Ahad ini bukan sahaja menjadi platform melebarkan promosi usahawan yang berdaftar sebagai ahli Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (PUMMA), tetapi turut menjalinkan kerjasama antara satu sama lain.

Buktinya, pembabitan beberapa artis muda yang membuat persembahan pada acara kemuncak karnival itu dianggap pembuka kepada kelangsungan dan kejayaan program itu pada masa akan datang.

Antara artis terbabit ialah Ismail Izzani, As’ad Motawh, Ariff Bahran dan Haziq Putera Band.

Ia akan diadakan di tapak parkir bersebelahan pusat beli-belah Ampang Point, Kuala Lumpur bermula jam 7 pagi hingga tengah 12 malam.

Bagi penyanyi lagu Sabar, Ismail Izzani, acara sebegini dilihat mampu memberi pendedahan kepada generasi muda dalam dunia perniagaan.

“Saya sentiasa menyokong program membabitkan generasi muda seperti saya untuk mendekatkan diri dalam dunia perniagaan. Program ini bagus kerana memberi pendedahan secara langsung kepada anak muda seperti saya berjinak-jinak sebagai usahawan muda.

“Lagipun, pihak yang menganjurkan acara ini juga adalah rakan saya. Apa salahnya saya membabitkan diri dalam membantu merancakkan lagi acara karnival usahawan muda ini.

“Saya juga ingin menyeru anak muda supaya hadir dan menyaksikan sendiri pembabitan anak muda dari segi penganjuran hinggalah mereka yang terbabit berniaga di karnival ini. Mungkin ini dapat merangsangkan minat ingin berniaga. Kalau tak mampu berniaga skala besar, kita mulakan secara kecil kecilan seperti berniaga secara dalam talian,” katanya.

Sependapat dengan Ismail, penyanyi yang sedang meningkat naik menerusi lagu Kata Akhirmu, Ariff Bahran berkata, program seumpama ini dapat membina jati diri golongan muda yang ingin terbabit dalam dunia perniagaan.

“Tawaran untuk membuat persembahan pada acara ini sesuatu yang tidak boleh dilepaskan. Bukan saja dapat menghiburkan pengunjung, malah saya boleh menghebahkan kepada golongan remaja terutama yang berminat dalam bidang perniagaan untuk hadir.

“Banyak aktiviti diadakan yang dapat membina jati diri sebagai usahawan, meningkatkan perniagaan dan mewujudkan peluang jaringan perniagaan. Ia sekali gus menjadi platform bagi melahirkan usahawan yang kreatif, inovatif, profesional, fokus dan berintegriti dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Selain persembahan pada waktu malam, karnival ini turut menampilkan beberapa penyanyi baru yang bakal menghiburkan pengunjung pada waktu siang seperti Adly Sofwan, Azrin, Tuah dan Ghaze Lee.

Ia akan dirasmikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, manakala acara penutup disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 11:25 AM