ZARUL Husin. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi, Zarul Husin, 45, mengakui tindakannya yang tidak terbuka berbicara mengenai keluarga, menimbulkan salah faham sehingga ada yang menganggapnya masih bujang.

“Peminat-peminat lama semestinya sudah maklum mengenai status saya sebagai suami dan bapa. Tapi, bagi peminat baru, ada yang masih menganggap saya bujang.

“Bukanlah saya tidak memberitahu bahawa saya sudah berkeluarga, tapi saya cuma tidak terlalu berkongsi mengenai keluarga di khalayak,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ada juga peminat yang menghantar mesej di media sosial bertanya mengenai statusnya selepas dia membawa isterinya ke Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32), baru-baru ini.

“Tidak terlalu ekstrem, tapi ada yang menghantar mesej dan memberitahu bahawa, mereka baru tahu yang saya suami orang.

“Ada juga yang menulis di Twitter, walaupun tahu saya sudah beristeri, tapi mereka masih mahu ‘mencuba nasib’. Saya anggap itu sebagai gurauan semata-mata dan tak ambil serius pun,” katanya.

Vokalis kumpulan Umbrella itu juga menganggap ia sebagai rencah dalam perjalanan seorang anak seni sepertinya.

“Kalau tanya sama ada selesa atau tidak, ada kalanya saya rasa tak selesa dengan mesej dan tulisan seperti itu di media sosial.

“Tapi, selesa atau tidak, ini adalah kerjaya saya sebagai anak seni dan saya reda,” katanya.

Perkahwinan Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin dengan isteri, Intan Nur Fathihah dikurniakan cahaya mata, Puteri Ayu Nur Arisha yang kini berusia 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 2:02 PM