PARK Hae Jin
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Pernah membintangi drama bersiri Cheese in the Trap dua tahun lalu, Park Hae Jin menggalas semula wataknya sebagai Yoo Jung dalam versi filem.

Pada sesi penggambaran bersama majalah High Cut baru-baru ini, pelakon tampan itu berkongsi perbezaan wataknya dalam drama dan filem.

Park, 34, juga mengulas ciri-ciri yang perlu ada pada wanita sekiranya mahu menjadi suri hidupnya. Menurutnya, dia tidak kesah sekiranya mempunyai persamaan sikap dengan isterinya.

“Dia boleh berbeza atau sama seperti saya.

“Saya tidak kesah. Namun, saya kurang pasti apa perasaan dia terhadap saya,” katanya.

Namun demikian, Park yakin dia boleh menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan baik.

“Biarpun saya kurang pandai apabila berjanji temu, saya boleh jadi suami yang baik,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai dirinya, Park berkata, dia sangat mementingkan kebersihan dan ruang yang kemas.

“Kalau buat sesuatu, saya akan cepat kemas balik. Sebagai contoh, selesai makan saya akan terus bawa pinggan ke dapur untuk dibersihkan.

“Kebanyakan orang tidak suka saya berbuat demikian. Mereka kata, belum pun habis kunyah saya sudah terburu-buru membersihkan pinggan,” katanya.

Mengenai wataknya dalam filem Cheese in the Trap, pelakon itu berkata, ada beberapa perubahan malah ada penambahbaikan bagi babak mencemaskan.

“Emosi Yoo Jong kali ini lebih mendalam berbanding versi drama.

“Pada mata orang sekeliling, Yoo Jong cuma penuntut senior biasa. Namun, dalam drama dia dipaparkan sebagai penuntut yang bersikap pelik sejak awal cerita,” katanya.

Menurutnya, filem adaptasi komik itu akan memaparkan sisi berbeza Yoo Jun yang menyukai Hong Seol secara rahsia. Watak heroin Cheese in the Trap akan dilakonkan Oh Yeon Seo.

Barisan pelakon lain adalah Park Ki Woong, Yu In Young, Sandara Park dan Oh Jong Hyuk. Filem itu akan ditayangkan di pawagam Korea Selatan mulai 14 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 3:59 AM