AMMAR Alfian pada Majlis Pelancaran Filem Paskal. FOTO Luqman Hakim Zubir
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


SELEPAS 10 tahun menunggu, Ammar Alfian teruja diberi kepercayaan untuk berlakon dalam filem berjudul Paskal yang mengetengahkan perjuangan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Sudah lama saya tunggu untuk berlakon dalam filem penuh aksi seperti ini. Dulu, saya kerap ditawarkan watak klise, namun kali ini sebagai anggota PASKAL," katanya pada sidang media, malam tadi.

Menurut Ammar, 31, sebagai persiapan penggambaran mulai 10 Mac ini, dia bersama pelakon lain menjalani latihan fizikal sebenar PASKAL di kem Lumut, Perak awal Januari lalu.

"Paling susah adalah berenang kerana latihannya berbeza selain perlu belajar cara menyelam.

"Namun, cabaran itu sudah dijangkakan dan tidak kisah melakukannya demi kejayaan filem berkenaan.

"Semangat untuk berlakon dalam filem ini bertambah apabila saya juga berpeluang memakai pakaian seragam lengkap anggota PASKAL yang seberat 25 kilogram," katanya.

Selain itu, Ammar memberitahu turut dikehendaki mengurangkan berat badan sebanyak 20 kilogram bagi mencapai bentuk fizikal anggota PASKAL.

"Sebelum latihan, berat saya 95 kilogram dan berjaya turun kepada 85 kilogram selepas mengubah diet. Saya masih perlu turun sebanyak 10 kilogram lagi," katanya.

Filem Paskal arahan Adrian Teh akan mengetengahkan pembabitan PASKAL dalam misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dari lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Karya menelan kos pembikinan sebanyak RM10 juta itu turut memaparkan kejayaan PASKAL dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998.

Turut membintangi filem itu adalah Hairul Azreen, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 2:30 PM