KHAIRIL
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Lagu Terbang Helang nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 1985 berjaya memperkenalkan nama Khairil Johari Johar sebagai komposer muda yang berpotensi ketika itu.

Manakala lagunya berjudul Sepasang Kurung Biru dengan lirik tulisan Habsah Hassan yang dirakam dan dinyanyikan pada 1986 berjaya mengekalkan namanya dalam industri muzik biarpun sudah tidak aktif menyanyi selepas itu.

Kini, selepas komitmennya sebagai Ketua Pensyarah Fakulti Seni dan Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam selesai, barulah Profesor Madya Khairil Johari Johar, 56, kembali menghasilkan lagu terbaru dan kembali menyanyi sepenuh masa.

“Saya tampil buat kali pertama sebagai penyanyi bersama syarikat rakaman EMI menerusi album berjudul Kenapa Aku Hanya Kawan pada 1985 dan Engkau (1986).

“Ketika itu saya masih muda dan segar kerana baru balik sebagai pelajar muzik di Berkley Collage of Music, Boston, Amerika Syarikat (AS) pada 1984.

“Perjanjian saya dengan EMI hanya untuk dua album dan selepas itu saya ke AS semula bagi menyambung pengajian sarjana dalam muzik di tempat yang sama,” katanya.

Khairil pulang ke Malaysia pada 1989 dan terus ditawarkan bekerja sebagai pensyarah di fakulti muzik UiTM dan sukar untuk aktif menyanyi.

“Saya terbabit mengajar dan banyak buat kerja pentadbiran. Agak susah untuk saya terbabit dengan penerbitan album dan buat promosi.

“Saya bersara pada tahun lalu dan kini hanya terbabit sebagai pensyarah muzik sambilan di situ. Tak dinafikan ketika bergelar pensyarah lagi, impian saya untuk buat album memang ada,” katanya.

Khairil berkata, pada 2016 dia tampil dengan single berjudul Apa Yang Ku Cari di bawah Universal Music Malaysia, tetapi tidak dapat membuat promosi sepenuhnya kerana terikat dengan karier sebagai pensyarah.

“Terbaru, saya tampil dengan single kedua berjudul Aku Hanya Membisu juga bersama Universal Music Malaysia dan kini barulah dapat buat promosi sepenuhnya.

“Lagu ini berentak pop balada yang memang jadi kekuatan saya. Ia berdurasi empat minit dan tempoh itu perlu kerana setiap lagu saya ada cerita.

“Jika terlalu pendek, apa yang cuba dibawakan takkan sampai kepada pendengar,” katanya yang lebih senang menulis sendiri lirik lagu ciptaannya.

Biarpun terikat dengan kerjaya sebelum ini, Khairil aktif mencipta lagu dan mempunyai koleksi lagu yang banyak.

Mengulas mengenai penerimaan pendengar terhadap lagunya, Khairil mengakui masih mempunyai peminat yang ramai terutama yang meminati Sepasang Kurung Biru.

“Ramai yang bertanya bila saya nak muncul dengan single terbaru dan inilah lagu seperti yang mereka mahukan.

“Saya harap ia diterima kerana komposisi penciptaannya sama dengan lagu Sepasang Kurung Biru. Lagu ini sudah dilancarkan di aplikasi Spotify, iTunes dan Joox pada Disember lalu,” katanya.

Khairil pernah mencipta enam lagu untuk Sharifah Aini iaitu Terbang Helang, Bayangan, Terkenang, Kenangan, Semoga Tak Kecewa Lagi dan Cahayamu Cahayaku.

Dia turut mencipta lagu untuk Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad berjudul Sabarlah Menanti, Dj Dave (Anak Mami dan Aku Tak Kecewa Lagi) serta lagu Gaya Zakri berjudul Kesedaran yang dianggap berjaya melonjakkan namanya terlebih dahulu berbanding lagu Terbang Helang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 3:13 AM