MCADAMS
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Aktres kelahiran Kanada, Rachel McAdams pernah menjadi bualan ramai apabila berpacaran dengan ramai jejaka tampan di Hollywood.

Ramai menyifatkan dirinya sebagai wanita yang suka berfoya-foya kerana sering bertukar teman lelaki sejak mula berkecimpung dalam dunia lakonan antarabangsa.

Barangkali, hubungan cinta paling mencuri tumpuan ramai membabitkan dirinya adalah dengan aktor yang turut berasal dari Kanada, Ryan Gosling.

Hubungan mereka hanya bertahan dari 2005 hingga 2008.

Dalam satu temu bual bersama portal hiburan, McAdams sempat meluahkan perasaannya mengenai cinta walaupun wanita berusia 39 tahun itu bersifat privasi.

“Kita tidak mampu mengelak daripada cinta. Apabila ia datang, ia tetap akan datang. Kadang-kadang, kita bercinta dengan seseorang itu hari ini, keesokan harinya tidak bermakna kita akan terus bersama sebagai pasangan kekasih,” katanya.

Selain Gosling, aktres yang terkenal menerusi filem The Vow itu pernah menjalin hubungan dengan beberapa lelaki seperti aktor Michael Sheen (2010 hingga 2013) dan ahli muzik Patrick Sambrook (pertengahan 2013 - pertengahan 2014).

Terbaru, McAdams dikatakan sedang asyik bercinta dengan pengarah dan penulis skrip tersohor Amerika Syarikat (AS), Jamie Linden.

Bagaimanapun, hubungan cinta mereka berjalan dalam fasa sederhana kerana sehingga kini dia tetap mengunci mulut mengenai kisah cintanya walaupun aksi intim dengan lelaki terbabit beberapa kali dibidik paparazi di Hollywood.

Lebih mengejutkan, baru-baru ini McAdams dikhabarkan sedang hamil namun belum ada pengesahan daripada pihaknya, sebaliknya dia memilih mengunci mulut.

Namun, dalam satu temu bual sebelum ini, McAdams pernah menyatakan hasrat untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.

“Hidup saya lebih lengkap dengan kehadiran cahaya mata.

“Lagipun ibu saya adalah sumber inspirasi. Dia seorang jururawat dan sangat penyayang. Dia memberi saya kebebasan untuk memilih jalan hidup ini. Saya berharap dapat menjadi seorang individu yang berkualiti dan hebat sepertinya,” katanya.

Ketiadaannya pada majlis hiburan berprestij mengundang tanda-tanya ramai, namun sehingga kini Mc Adams enggan mendedahkan dirinya dikatakan sudah hamil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 3:03 AM