BADANG
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Resam kebanyakan netizen tempatan adalah kecam sebelum tonton.

Situasi itu sering berlaku terhadap filem terbitan tempatan sehinggakan ada yang beri kesan kepada kutipan dan tontonan di pawagam.

Antara punca kecaman ialah pelakon yang menjengkelkan, pembikinan tidak mencapai standard diinginkan, jalan cerita tidak seperti digambarkan penonton, teknologi kesan khas tangkap muat dan banyak lagi.

Tidak dinafikan, kecaman sebelum tontonan adalah perkara yang sangat kejam dan tidak adil kepada pembikin yang bertungkus-lumus berkorban masa, bermandi keringat dan darah apabila ada kes nyawa melayang semata-mata mahu menghasilkan karya disifatkan mampu merancakkan industri perfileman tempatan.

Biarpun kedengaran pahit untuk ditelan, pembikin juga sepatutnya tidak boleh lupa selera tontonan adalah hak individu dan ia tidak boleh dipaksa biarpun filem itu mempunyai nilai estetika, objektif murni, bajet jutaan ringgit serta naratif luar biasa.

BLING! minggu ini menyenaraikan beberapa filem tempatan yang pernah mendapat kecaman segelintir masyarakat di dalam dan luar negara sejak dulu hingga kini.

1. Badang

Filem arahan Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen yang ditayangkan sejak 15 Februari lalu mendapat kecaman sangat hebat daripada netizen tempatan yang rata-rata tidak sukakan pelakon utama, Datuk Alif Syukri dan jalan ceritanya.

Lebih parah, filem ini turut mendapat kecaman daripada khalayak industri sendiri seolah-olah ia sudah melakukan dosa besar terhadap industri filem tempatan.

Menariknya, kebanyakan netizen dewasa mendakwa filem itu tidak layak untuk ditonton padahal pengarah dan penerbit sudah memaklumkan sejak awal, ia untuk tontonan kanak-kanak.

Jika tolak tepi isu pelakon utama, filem Badang mempunyai tarikan dari segi kostum, kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan aksi yang sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

2. Mendidih Bro

Filem arahan Z Lokman ini ditayangkan pada Ogos tahun lalu ini hanya mampu mencatat kutipan RM4,090.

Lebih menyedihkan, ia hanya mampu bertahan selama empat hari di 21 pawagam seluruh negara.

Filem ini mempunyai barisan pelakon muda popular dan berpengalaman seperti Juliana Evans, Azrel Ismail, Amy Mastura, Adrea Abdullah dan Yank Kassim.

Dari segi idea dan jalan cerita, filem ini mempunyai gaya filem antarabangsa melalui penceritaan yang luar dari kotak klise filem atau drama Melayu tempatan.

Kecaman diterima filem ini daripada netizen rata-ratanya kerana penyampaian serta teknikal filem tidak mencapai tahap idea yang agak besar.

Malah, disebabkan pembikinannya dalam genre komedi romantik, ia sekali gus agak lari daripada konsep idea berat yang jadi fokus utama. Ditambah pula kurang promosi, membuatkan filem ini terus merudum di pawagam tempatan.


MENDIDIH Bro

3. Anak Mami Nasi Kandar

Tidak keterlaluan dikatakan, selain Badang, filem arahan A Razak Mohaideen ini juga mendapat kecaman daripada netizen dan penonton tempatan ketika ditayangkan pada Julai 2016.

Antara kecaman yang dilemparkan adalah genre dan penceritaan yang didakwa tidak lagi releven pada era pembikin lain sudah membawa idea jauh lebih luas.

Malah, ada netizen berpendapat filem ini seolah terperangkap dalam kegemilangan filem genre sama yang pernah popular sekitar awal tahun 2000-an.

Walaupun mendapat kecaman, filem ini tetap berjaya kekal selama 15 hari dan mengutip lebih RM350,000 selepas ditayangkan di lebih 50 pawagam seluruh negara.


ANAK Mami Nasi Kandar

4. Pencuri Hati Mr Cinderella

Kesilapan pertama filem arahan Ahmad Idham Nadzri ini apabila rekaan poster filem yang mula tular di media sosial didakwa terlalu buruk dan ketinggalan zaman sehinggakan ada menganggap ia bukan poster sebenar pada peringkat awal.

Keduanya, apabila pengarah itu sendiri membawa watak utama dalam filem, sekali gus lari daripada kebiasaan filem tempatan yang sering menggunakan pelakon muda sebagai pelaris.

Dua elemen itu sering dibangkitkan netizen yang mengecam selain daripada jalan cerita didakwa tidak sesuai dengan budaya masyarakat Melayu.

Biarpun dikecam netizen, filem ini mendapat maklum balas dan pujian daripada media tempatan kerana idea, olahan cerita dan lakonan hebat barisan pelakon terbabit.

Malangnya, pujian media tempatan nampaknya tidak membantu kelangsungan filem ini di 33 pawagam tempatan seluruh negara. Ia hanya mampu mengutip sekadar hampir RM20,000 selepas tujuh hari tayangan.


PENCURI Hati Mr Cinderella

5. Pak Pong

Filem genre aksi fantasi arahan pertama Fauzi Nawawi ini mempunyai elemen yang menarik dari segi penceritaan, kesan khas, aksi, drama dan barisan pelakon popular serta berpengalaman.

Malangnya, sama seperti filem Badang, ia dikecam netizen yang beranggapan filem ini mempunyai angan-angan yang terlalu tinggi untuk sebuah filem Melayu tempatan.

Paling teruk dikecam ialah pada poster filem yang didakwa ‘serabut’ dengan muka pelakon.

Bagi netizen, filem itu sepatutnya mempunyai poster yang lebih ringkas tapi mempunyai aura yang besar sebagai sebuah filem aksi fantasi ala Lord Of The Rings.

Namun, filem ini mendapat reaksi agak positif daripada media tempatan kerana ia mempunyai cerita yang agak menarik.

Seperti filem Pencuri Hati Mr Cinderella, filem ini juga hanya bertahan tujuh hari tayangan. Ia mengutip lebih RM35,000 saja daripada 60 pawagam seluruh negara.


PAK Pong

6. Momok Jangan Cari Pasal

Filem ini bukan yang pertama pernah dikecam netizen, malah sebuah lagi filem karya M Jamil iaitu Momok The Movie (2009) pernah mendapat kecaman sama.

Kecaman netizen rata-rata berkisar pada kualiti pembikin filem yang tidak sepatutnya berlaku pada sebuah filem yang ditayangkan di layar lebar.

Antara ketara adalah kerja kamera, suntingan serta kesan khas ketinggalan arus kemajuan teknologi pembikinan filem yang sudah pun ke hadapan.

Biarpun teruk dikecam, filem ini mampu mengutip RM130,000 selepas 21 hari tayangan di 40 pawagam seluruh negara pada 2012.


MOMOK Jangan Cari Pasal

7. Leftwings

Filem bergenre muzikal ini boleh dikatakan langsung tidak diketahui kewujudannya pada 2012.

Ia dikatakan sebagai filem khusus bagi peminat rock yang diarahkan Faisal Chal Ahmad.

Sudahlah tiada promosi, apabila ia mula ditayangkan, filem ini mendapat kritikan yang agak pedas daripada netizen dan pengkritik filem tempatan.

Antaranya hampir semua pelakon tidak berjaya memberi lakonan sepatunya. Plot filem juga tidak tersusun, lakon layar lemah dan skripnya yang dihasilkan pengarah sendiri bersama Nasir Jani tidak bersesuaian dengan era filem sekarang.

Bagaimanapun, ia adalah filem yang bagus dari segi idea dan objektif kerana berusaha memberi pilihan kepada peminat muzik rock tempatan.

Filem ini sekadar mengutip RM20,000 ketika ditayangkan pada 30 Ogos 2012.


LEFTWINGS

8. Pontianak Menangis

Kesilapan paling jelas pada filem pertama arahan Ismail Jejaka ini adalah pada posternya yang disifatkan tidak sesuai langsung untuk sebuah filem tayangan di pawagam.

Netizen terutama di laman Twitter mendakwa filem itu langsung tidak layak ditonton kerana kualiti awal pada poster yang ditular.

Ada juga netizen menyifatkan poster filem ini seperti muka depan video cakera padat (VCD) cetak rompak yang dijual pasar malam.

Walaupun buruk pada pandangan pertama, filem ini mempunyai objektif jelas nilai positif yang mahu disampaikan. Tapi pemahaman itu mengambil masa lama dek plotnya yang bercelaru dan gaya pengarahan ketinggalan zaman.

Filem ini hanya sempat bertahan selama sembilan hari dan mengutip hampir RM140,000.


PONTIANAK Menangis

9. Satu Malam Kubur Berasap

Filem seram arahan Ernie Chan ini mendapat undian 4/10 daripada laman sesawang filem IMDb pada 2011.

Kebanyakan netizen mengecam filem ini kerana melihat genre filem seram sudah terlalu banyak di pasaran filem tempatan.

Luahan mereka dipercayai kerana penonton tempatan sudah bosan disajikan filem seperti itu dan mengharapkan pembaharuan dapat dilakukan segera bagi mempelbagaikan genre filem.

Walaupun dikecam netizen, filem yang dibarisi ramai pelawak popular berjaya mengutip kutipan pecah panggung mencecah RM4.09 juta selepas ditayangkan di 64 pawagam seluruh negara.


GABUNGAN pelawak dan pelakon popular kekuatan Suatu Malam Kubur Berasap.

10. Usin UFO

Filem arahan pertama pelakon Zul Yahya ini dikecam kerana penceritaannya yang agak ‘melalut’ sehinggakan ada babak yang disifatkan ‘membuang masa’ tontonan.

Pengkritik berpendapat filem aksi komedi fantasi ini terlalu bereksperimentasi dengan jalan cerita dan perwatakan sehinggakan ia seolah-olah tidak sesuai dengan kefahaman penonton tempatan.

Netizen pula menyifatkan filem ini tidak realistik apabila munculnya watak seperti makhluk asing dan UFO yang didakwa tidak wujud.

Ditambah pula dengan kurangnya promosi, filem ini tidak dapat bertahan lama di pawagam tempatan.

Walaupun filem ini hanyalah khayalan fantasi semata-mata, ia mampu mengutip hampir RM80,000 selepas dua minggu tayangan.


USIN UFO

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 1:02 AM