KUGIRAN Masdo.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Melihat sambutan hangat di dua lokasi Festival GegaRia, Kugiran Masdo teruja untuk menghangatkan edisi ketiga yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, esok.

Siapa sangka, kehadiran band yang mengetengahkan muzik pop era 1960-an ini antara yang mencuri tumpuan apabila ribuan pengunjung yang membanjiri tapak festival melaung nama Kugiran Masdo.

Melihat sokongan padu yang diberikan pengunjung, Masdo yang ditubuhkan pada 2015 ini teruja untuk beraksi di hadapan peminat pada Konsert GegaRia di Pahang.

Masdo yang dianggotai Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal), Asmawi (gitar/vokal) dan Ali Sariah (vokal utama/gitar) ternyata tidak sabar bertemu peminat dan memperkenalkan karya mereka di pentas berskala besar itu.

Ali berkata, dia tidak menyangka dengan sambutan yang diterima dan berterima kasih kepada penganjur Media Prima Berhad kerana memperkenalkan bakat mereka kepada umum.

“Cukup luar biasa sambutan yang kami terima. Kami teruja dan terharu kerana dapat membuat persembahan sebaris dengan kumpulan popular tanah air. Ia sesuatu yang tidak dijangka.

“Kami masih baru, tetapi dalam setiap persembahan kami memberikan sehabis baik buat peminat.

“Kami percaya, GegaRia adalah peluang terbaik untuk terus memperkenalkan diri ke peringkat yang lebih luas,” katanya.

Sorakan dan laungan nama Kugiran Masdo menjadi bukti ‘jelmaan’ mereka di arus perdana semakin diterima baik peminat.

KUGIRAN Masdo

Menurut Ali, mereka sebenarnya sudah cuba pelbagai ikhtiar untuk mara dalam muzik arus perdana. Bagaimanapun, ia tidak semudah disangka membuatkan mereka lebih selesa terus berusaha sendiri.

Namun, ternyata nama Kugiran Masdo perlahan-lahan mencuri tumpuna peminat seni arus perdana dan tidak mustahil mampu menempa nama.

“Bukan tidak mencuba, kami memang ada menghantar lagu ke stesen radio untuk dimainkan. Namun, rezeki belum berpihak buat kami dan reda untuk melakukan iktihar lain pula.

“Bagaimanapun, saya faham dengan situasi itu apatah lagi kami pun memperjuangkan muzik yang mungkin tidak menepati pasaran sekarang. Bagaimanapun, ia tidak menggugat semangat kami walau sedikit pun kerana perjuangan perlu terus teguh.

“Alhamdulillah festival GegaRia menjadi bukti bahawa kehadiran kami mendapat perhatian. Kami percaya haluan muzik kami semakin membuahkan hasil,” katanya.

Walaupun memperjuangkan genre pop klasik dengan mengambil aura lagu Melayu era 1960-an digabung dengan pop masa kini, Kugiran Masdo mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Barangkali daripada cara berpakaian, identiti dalam persembahan, tidak mustahil karya muzik mereka mudah diterima ramai.

“Kami bersyukur ada pengikut tersendiri. Peminat tidak putus-putus menyokong dan ia dibuktikan dengan setiap siri jelajah yang kami jayakan.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan, setiap kumpulan pasti melalui cabaran yang sukar, tapi Kugiran Masdo akan cuba sedaya upaya mempertahankan dan terus berkarya selagi diterima. Tetap bersama-sama memeriahkan dunia indie kita,” katanya.

Sebelum ini, Media Prima Berhad menganjurkan Festival GegaRia di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam sebagai destinasi pertama karnival sebelum beralih ke Johor Bahru sebagai destinasi kedua.

Menerusi edisi ketiga ini, konsert di pentas utama pada sebelah malam masih mengekalkan artis seperti Noh Salleh, Akim & The Majistret, DeFam dan Bunkface.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 8:11 AM