LAMAR sewa tiga pawagam supaya kanak-kanak di Los Angeles dapat menyaksikan filem Black Panther secara percuma.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Filem Black Panther sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan menerusi album runut bunyi yang diterbitkan penyanyi rap Kendrick Lamar.

Ahad lalu, Billboard melaporkan Black Panther: The Album mendominasi carta lagu Billboard 200 selepas terjual 154,000 unit pada minggu dilancarkan.

Namun, di sebalik pencapaian itu, Lamar dan penyanyi SZA dituduh menggunakan karya seni pelukis Lina Iris Viktor dalam video muzik All The Stars yang juga lagu tema filem Black Panther.

Portal TMZ melaporkan pelukis itu menuntut ganti rugi terhadap dua penyanyi terbabit.

Viktor mendakwa pihak produksi Black Panther menghubunginya pada 2016 dan awal Januari lalu bagi mendapatkan kebenaran untuk menggunakan karya seninya.

Viktor bagaimanapun menolak permintaan itu.

Dia turut mendakwa video muzik All The Stars meniru karyanya dengan menambah beberapa elemen lain seperti corak, geometri serta haiwan mistik.

Lapor TMZ, Viktor mahu membuat permohonan injunksi bagi menghalang Lamar dan SZA daripada terus menggunakan karya seninya bagi mempromosikan lagu itu.

Album Black Panther yang memuatkan 14 lagu menampilkan penyanyi hebat The Weeknd, SZA, Travis Scott dan Future.

Namun, hanya beberapa lagu dipaparkan dalam filem Black Panther.

Selain All The Stars, lagu King’s Dean dan Pray For Me dipromosi secara meluas beberapa minggu sebelum pelancaran album.

Nielsen melaporkan tiga lagu berkenaan sudah dimainkan sebanyak 132 juta kali di aplikasi penstriman.

Belanja kanak-kanak tonton Black Panther

Dalam perkembangan lain, Lamar menyewa tiga pawagam supaya kanak-kanak di Los Angeles dapat menyaksikan filem Black Panther secara percuma.

Penyanyi itu dan produksi muzik miliknya, Top Dawg Entertainment (TDE) menganjurkan tayangan istimewa itu pada 17 Februari lalu dan menjemput kanak-kanak daripada tiga projek perumahan.

Acara itu membabitkan lima tayangan dengan hampir 1,000 tempat duduk.

Lamar antara selebriti yang menganjurkan tayangan percuma menyaksikan filem Black Panther untuk kanak-kanak. Selebriti lain yang turut melakukan perkara sama ialah jaguh tenis Serena Williams, penyanyi T.I, Lil Yachty, Offset dan Octavia Spenser.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 4:45 AM