SESI fotografi rahsia di Atlanta pada 7 Oktober lalu.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Produksi Marvel Studios, baru-baru ini berkongsi gambar memaparkan 80 pelakon dan pembikin filem yang terbabit dalam filem adiwira Marvel Cinematic Universe sejak sedekad lalu.

Gambar istimewa berkenaan bersempena ulang tahun ke-10 Marvel Cinematic Universe dan sesi fotografi itu dilakukan pada 7 Oktober lalu di Atlanta, Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan, barisan pelakon dan pembikin filem itu hadir secara rahsia di set penggambaran Avengers: Infinity War bagi meraikan pencapaian Marvel Cinematic Universe.

Antara pelakon yang membawa watak adiwira dalam filem Marvel adalah Robert Downey Jr., Chris Evans, Chris Hemsworth, Mark Ruffalo, Scarlett Johansson, Paul Rudd, Benedict Cumberbatch, Chris Pratt, Chadwick Boseman dan Zoe Saldana.

Pencipta filem pula antaranya Kevin Feige, Louis D’Esposito, Victoria Alonso, Stan Lee, Scott Derrickson, Trinh Tran, Alan Taylor, Brad Winderbaum, Louis Letterier, Jon Watts, Sarah Finn, James Gunn, Joe Russo, Anthony Russo, Joss Whedon dan David Grant.

Ulang tahun Marvel Cinematic Universe bermula dengan tayangan filem Avengers: Infinity War dan dijangka menemui penonton pada April ini.

Cenderamata dan produk khas sempena sambutan itu dijangka dikeluarkan selain aktiviti menarik bakal menanti peminat.

Sejak 10 tahun lalu, filem terbitan Marvel Studios menerima sambutan hangat dengan jumlah pencapaian ‘box office’ berjumlah USD13.5 bilion dari seluruh dunia.

Antara filem Marvel Cinematic Universe adalah Ironman, Avengers, Captain America, Thor, The Increadible Hulk, Guardians of The Galaxy, Antman, Dr Strange dan yang terbaru, Black Panther.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 1:13 PM