JAMES Blunt.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Buat kali pertama, penyanyi yang popular menerusi lagu You’re Beautiful, James Blunt akan membuat persembahan di Malaysia pada 25 Mac ini.

Persembahan penyanyi berusia 43 tahun itu sempena konsert jelajah di Eropah dan Asia Pasifik bagi mempromosikan album terbarunya, The Afterlove.

Nama Blunt mula menjadi sebutan di seluruh dunia selepas album pertama Back to Bedlam yang diperkenalkan pada 2004 meraih kejayaan besar.

Lagu You’re Beautiful mendapat sambutan luar biasa sehingga ada pendengar di United Kingdom menggesa stesen radio tempatan untuk berhenti memutarkan lagu Blunt.

Ini berikutan pendengar mendakwa mereka sudah muak mendengar lagu itu kerap dimainkan di radio.

Selain You’re Beautiful, lagu Goodbye My Lover yang dirakam dalam bilik mandi pelakon Carrie Fisher turut mendapat sambutan memberangsangkan pendengar.

Kejayaan itu melayakkan Blunt menerima beberapa anugerah berprestij antaranya Anugerah British, Anugerah Video MTV, Anugerah Ivor Novello serta lima pencalonan Anugerah Grammy.

Susulan itu, penyanyi berkenaan meneruskan karier seninya dengan mengeluarkan tiga album All The Lost Souls, Some Kind of Trouble dan Moon Landing yang turut sukses di peringkat antarabangsa.

Album kelima, The Afterlove yang diperkenalkan tahun lalu memuatkan 10 lagu antaranya Love Me Better, Bartender, Time of Our Lives dan Make Me Better.

Bagi memberi nafas segar untuk album itu, bekas pegawai tentera British terbabit bekerjasama dengan beberapa artis terkenal seperti Ed Sheeran, Ryan Tedder (One Republic) dan Johnny McDaid (Snow Patrol).

Sebelum ini, Blunt membuat kemunculan istimewa di konsert jelajah Sheeran di utara Amerika Syarikat.

Konsert jelajah Blunt, The Afterlove Asia Tour 2018 akan berlangsung di Dewan Wawasan PGRM, Kuala Lumpur pada 25 Mac ini, jam 8 malam.

Tiket konsert bermula pada harga RM122 hingga RM592 dan boleh dibeli menerusi laman web www.BuyTickets.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 12:57 PM