LI BINGBING
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


Peluang beraksi dalam filem termahal produksi China - Australia setakat ini yang berjudul Guardians of The Tomb memberi pengalaman cukup bermakna buat aktres jelita kelahiran Wuchang, China, Li Bingbing.

Menariknya, ia adalah langkah terbaru aktres itu selepas beraksi dalam beberapa babak filem Transformers: Age of Extinction dan Resident Evil: Retribution, beberapa tahun lalu.

Penguasaan bahasa Inggerisnya diperakui masih lemah dan ia ketara melalui filem Guardians of The Tomb yang mula ditayangkan sejak Khamis lalu, di sini.

“Saya tidak nafikan, penguasaan bahasa Inggeris sangat penting terutama jika berpeluang berlakon dengan produksi luar.

“Selain mudah untuk memahami dan menjiwai watak diberikan, ia juga memudahkan komunikasi dengan kru produksi,” katanya.

Bingbing akui masih dalam proses belajar namun lega lakonan terdahulu dalam beberapa produksi luar negara sedikit sebanyak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Situasi itu menjadikan dia ‘terpaksa’ sedar betapa pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara dunia hiburan antarabangsa.

Imbas semula, dia pernah berasa malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris kerana risau jika salah penyampaian atau diketawakan orang sekeliling.

Hanya selepas ditemukan kru produksi yang banyak membantu, penguasaan bahasa itu semakin baik terutamanya pada set penggambaran filem Resident Evil: Retribution.

Diam tak diam, aktres jelita yang mula dikenali peminat antarabangsa melalui filem Forbidden Kingdom pada 2008 ini bakal beraksi di sisi Jason Statham melalui filem Megalodon terbitan Hollywood.

“Filem Megalodon atau Meg diilhamkan daripada buku tulisan Steve Alten berjudul Meg: A Novel of Deep Terror yang diterbitkan pada 1997.

“Selain saya dan Statham, turut sama berlakon ialah Jessica McNamee, Winston Chao dan Ruby Rose,” katanya yang enggan mendedahkan perincian lain.

Difahamkan, watak dipegang Li diberikan kepada Fan Bingbing tetapi terpaksa ditolak kerana mempunyai komitmen filem lain.

Aktres berusia 44 tahun itu mengakui tidak kisah dengan setiap jenis watak diberikan terutama watak aksi kerana ia mencabar fizikalnya sebagai pelakon wanita Asia.

Terbaru, Li Bingbing bakal menjadi adiwira wanita pertama China menerusi filem Realm tulisan Stan Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 1:59 AM