ADAM
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Muncul di kaca TV, terutamanya menerusi program realiti akan membuatkan nama seseorang terus memuncak dan boleh digelar selebriti.

Seiring dengan itu, bukan sahaja reaksi positif bahkan akan ada juga komen negatif terutamanya daripada netizen yang tidak mampu dielakkan.

Itulah yang dihadapi bekas peserta program Hero Oven musim kedua, Adam yang baru-baru ini dihambat kontroversi apabila meluahkan rasa terkilannya dengan rakyat Malaysia yang gemar menyentuh isu status halal sesuatu makanan.

“Saya selalu menjelajah ke banyak negara antaranya Bangkok dan terbaru, United Kingdom.

“Jadi, saya kongsikan beberapa menu yang saya makan di sana dan setiap kali itu jugalah akan ada yang mempersoalkan status halal apa yang saya makan,” katanya.

Justeru itu, dia bertindak menulis penjelasan dengan panjang lebar mengenai isu terbabit di Instagram, sekali gus mendapat perhatian ramai.

“Saya beragama Islam dan tentunya saya faham bahawa makanan adalah sesuatu yang sensitif. Tak mungkin saya akan makan makanan haram dan kongsi di media sosial,” katanya.

Tambah Adam atau nama sebenarnya, Muhammad Adam Mahamed Ismail, pada awalnya dia tidak terlalu mengendahkan komen-komen negatif itu namun ada beberapa hal yang membuatkannya perlu bersuara.

“Kalau setakat menulis komen dan mempersoal mengenai makanan, mungkin tidak mengapa. Tapi, bila ada yang menyentuh mengenai keluarga, mempersoal agama yang saya anuti dan mengatakan saya akan dilaknat dan sebagainya, saya perlu bersuara,” katanya.

Bercerita mengenai namanya yang kini menjadi sebutan lebih-lebih lagi selepas berjaya ke peringkat akhir Hero Oven 2 baru-baru ini, Adam menganggap itu adalah sebahagian daripada rencah menjadi selebriti namun mengakui ada had yang ditetapkan.

“Kadangkala, netizen beranggapan sekiranya seseorang itu ada pengikut yang ramai di media sosial, dia perlu telan semua yang dilontarkan oleh netizen di ruangan komen.

“Bagi saya, perlu ada had dalam menulis komen dan meluahkan pendapat. Siapa yang memberikan hak itu kepada mereka untuk menulis kata-kata yang tidak sepatutnya?” katanya lagi.

Selesai dengan program Hero Oven, Adam kini akan berkongsi minatnya di media sosial selain bekerjasama dengan beberapa jenama.

“Ada beberapa rancangan tetapi lebih kepada media sosial. Mungkin saya akan bekerjasama dengan beberapa jenama selain muncul untuk iklan TV dan sebagainya.

“Ada juga beberapa produk yang mula menghubungi saya tetapi semuanya masih dalam perbincangan.

“Selain itu, ada juga kenalan menyarankan supaya saya membuka restoran tetapi rasanya itu terlalu berisiko memandangkan saya baru bertapak,” katanya.

Terbaru, Adam membintangi drama bersiri 13 episod berjudul Dapur Kongsi terbitan NTV7 yang akan mula bersiaran pada 5 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 2:30 AM