Anuar tak mahu ambil risiko selepas hilang suara. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI, Anuar Zain, 48, mengakui kembali yakin membuat persembahan di pentas berskala besar selepas trauma akibat kehilangan suara, tahun lalu.

“Alhamdulillah, tahun ini, saya kembali yakin untuk tampil membuat persembahan berskala besar.

“Tahun lalu, akibat kehilangan suara, saya membatalkan tiga konsert besar iaitu bersempena minggu setiausaha, satu konsert di Singapura dan satu lagi di Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

Sepanjang tahun lalu juga rasa trauma itu membuatkannya tidak yakin untuk menyanyi walaupun keadaannya sudah sembuh.

“Walaupun dah sembuh pada penghujung tahun lalu tetapi saya sendiri tak yakin untuk menyanyi kerana tak mahu mengecewakan peminat.

“Saya tak mahu mengambil risiko untuk menyanyi kerana saya tahu kemampuan saya pada waktu itu.

“Tahun ini, saya perlahan-lahan bina semangat saya semula dan bersiap sedia untuk membuat persembahan di konsert BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live in Concert menjelang 28 April ini,” katanya.

Anuar ditemui di majlis sidang media konsert juga memberitahu bahawa keadaan suaranya kini kembali seperti sedia kala.

“Saya mengikut nasihat doktor yang meminta saya berehat secukupnya. Alhamdulillah, semuanya kembali pulih dan kini Insya-Allah dapat menyanyi seperti biasa,” katanya.

Selain Anuar, konsert terbabit akan menampilkan Bunga Citra Lestari dan Yuka Kharisma dan akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 6:21 PM