NICHOLAS dan David mencuba makanan tempatan.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Bagi mereka yang mengikuti kerjaya seni selebriti popular Hong Kong, Nicholas Tse, pasti terkejut apabila melihat kerjaya barunya sebagai pengacara program masakan dan chef lebih menonjol berbanding lakonan dan nyanyian.

Tidak dinafikan disebabkan program masakan yang dikendalikan sebelum ini, Chef Nic yang diterbitkan pada 2014 membuatkan dia lebih dikenali dan membawanya menjelajah ke seluruh dunia.

Bercerita mengenai cinta barunya terhadap pengacaraan dan dunia masakan, pelakon berusia 37 tahun ini berkata, segala-galanya bermula apabila dia menonton satu program masakan lapan tahun lalu.

“Ketika itu saya melihat betapa mudahnya cef itu menghasilkan souffle atau cream puff. Ia benar-benar menarik hati saya untuk mencubanya.

“Tanpa membuang masa sebaik program itu habis, saya terus ke kedai dan mendapatkan bahan untuk menghasilkan masakan yang sama,” katanya.

Menurut Nicholas, selepas menonton program itu dia berasakan mudah untuk menghasilkan makanan pemanis mulut itu, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Percubaan pertama saya gagal dan souffle yang saya hasilkan itu tidak boleh dimakan. Memang kalau hendak difikirkan kembali ia tidak masuk akal kerana bahan yang digunakan hanya sedikit dan mudah iaitu tepung, air, mentega dan sedikit susu,” katanya.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencuba dan mendalami bidang masakan walaupun dia tidak mempunyai pengetahuan asas mengenainya.

“Teknologi terkini sebenarnya banyak membantu saya untuk mempelajari dan melatih diri memasak dan mencuba resipi baru.

“Ternyata sekarang saya lebih yakin dan penonton menerima apa yang saya persembahkan (masakan dan makanan) dan memujinya,” katanya.

Turut menjayakan program terbabit ialah artis gred A dari Asia antaranya Donnie Yen, Jackie Chan, Fan Bing Bing, Vicky Chao, Nick Cheung dan Angelababy.

Terbaru, Nicholas muncul dalam program Celebrity Chef: East VS West yang turut menampilkan cef terkenal David Rocco.

Program khas ini akan menunjukkan persaingan antara Nicholas dan David untuk menghasilkan pelbagai masakan di samping pergi ke beberapa lokasi menarik dan terkenal dengan makanan enak.

Program yang terdiri daripada lima bahagian ini akan memaparkan perjalanan Nicholas dan David ke beberapa lokasi Asia termasuklah Ipoh dan Kuala Lumpur yang menjadi pilihan kedua-dua selebriti terbabit.

Di setiap lokasi Nicholas dan David akan mempelajari latar belakang, sejarah dan budaya makanan di bandar yang dilawati.

Di samping itu, mereka akan diuji dengan cabaran menyediakan hidangan tempatan yang dipilih cef jemputan mewakili negara dikunjungi.

Program Celebrity Chef: East VS West akan mula ditayangkan pada 25 Mac depan di FOX Life dan Nat Geo People.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:57 PM