KUMPULAN Caliph Buskers membuat persembahan Busking Finalis AJL32 di Dataran Sogo. FOTO Mahzir Mat Isa
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


WALAUPUN bakal bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), penyanyi utama kumpulan Caliph Buskers, Khairul Azmi Mohd Saat tetap meminta pandangan Dayang Nurfaizah membabitkan teknik nyanyian.

Azmi akan beraksi di pentas AJL32, di Axiata Arena Bukit Jalil, 11 Februari ini, menggantikan penyanyi dan pencipta asal lagu Sejati, Faizal Tahir.

Sementara Dayang Nurfaizah juga penyandang juara tahun lalu, sekali lagi bertanding menerusi lagu Separuh Matiku Bercinta, ciptaan sepenuhnya Ajai.

Ditemui di sesi ramah mesra terakhir finalis AJL32, di tapak busking pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur, jelas Azmi, untuk tahun ini persiapan yang dilakukan lebih serius.

Walaupun ramai yang mengatakan Azmi mampu memberikan saingan kepada pemenang anugerah vokal terbaik tiga tahun berturut-turut, Dayang Nurfaizah, dan berpotensi untuk merampas anugerah terbabit, penyanyi tampil berduet dengan Faizal menerusi lagu Buta itu tetap berasakan ia agak sukar.

“Ramai lagi sebenarnya yang mampu memberikan persaingan, seperti Ernie Zakri berduet dengan Syamel dan Wany Hasrita,” katanya.

Berbanding penyertaannya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) sebelum ini, tegas Azmi, dia lebih fokus dan untuk itu selain mengadakan sesi latihan, dia turut bertanyakan kepada penyanyi lebih senior dan turut bertanding.

“Saya juga ada rujuk dengan Dayang, bagaimana hendak mendapatkan ‘feel’ nyanyian dengan baik.

“Sebab Dayang ini kalau kita lihat setiap kali dia tampil dipentas menyanyi tidak pernah menghadapi masalah ‘pitching’.

“Selain itu, nyanyiannya penuh dengan rasa dan saya berasakan penting untuk saya merujuk kepadanya mendapatkan tips agar persembahan saya nanti juga sempurna,” katanya.

Selain itu kata kata Azmi, dia turut melakukan senaman bagi mendapatkan stamina agar corak persembahannya pada malam pertandingan memberikan impak.

Pada acara ramah mesra bagi mempromosikan AJL32, Azmi mendendangkan lagu Buta dan Sejati.

Selain Azmi turut sama menjayakan program khas itu dua lagi peserta yang layak iaitu Hazama dan Haqiem Rusly.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 9:41 PM