MOHD Azrie menerima hadiah geran perniagaan RM1 juta.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Pengarah dan pelakon Erma Fatima bangga dengan kejayaan Mohd Azrie Mat Nor yang menjuarai pertandingan program Rural Business Challenge (RBC) Mencari CEO Desa Grand Final 2017 pada 20 Januari lalu.

Kemenangan itu membolehkan Mohd Azrie yang juga dikenali sebagai Abang Dara membawa pulang hadiah berupa geran perniagaan berjumlah RM1 juta.

Pengarah Urusan Nebula Horizon Sdn Bhd itu yang menjalankan perniagaan berasaskan minyak kelapa dara kini memiliki lima rangkaian produk termasuk tonik dan syampu rambut.

Erma berkata, dia mengharapkan pemenang program realiti pencarian ahli perniagaan luar bandar itu berpeluang untuk mengembangkan lagi produk diusahakan ke negara luar.

Menurut Erma yang juga penerbit dan juga penasihat program CEO Desa berkata, pihak juri sudah membuat pilihan tepat berdasarkan persembahan dan peningkatan ditunjukkan mereka sebagai pengusaha produk dan ahli perniagaan.

“Sepanjang program ini dihasilkan, pelbagai tugasan perlu dilakukan setiap peserta. Ada antaranya memberikan tekanan besar. Tetapi percayalah apa yang mereka lalui itu adalah demi kebaikan. Ilmu diperoleh daripada mentor dan pakar juga penasihat perniagaan sepanjang program ini yang pihak produksi sediakan mampu digunakan pada masa depan.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, program CEO Desa dihasilkan bukan untuk program TV semata-mata, sebaliknya saya dan pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mahu benar-benar membangunkan usahawan di luar bandar sehingga mereka mampu membawa perniagaan ke peringkat global seperti tema rancangan ini iaitu From Rural to Global,” katanya.


ERMA harap pemenang dapat kembangkan produk mereka sehingga ke luar negara.

Dalam program yang bersiaran sebanyak 13 episod di TV3 itu, Mohd Azree yang dibantu Fizo Omar sebagai mentor menewaskan enam peserta lain iaitu pemenang tempat kedua, Mohd Yusuf Umar (Turbodotcom Autoparts) yang menjalankan perniagaan inovasi dengan mengitar semula turbo. Dia turut memenangi geran perniagaan bernilai RM700,000.

Pada program itu, Mohd Yusuf turut memenangi Anugerah Usahawan Online Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Tempat ketiga menjadi milik Mohd Suhaidi Ja’apar (Palm Fiber Sdn Bhd) yang mengeluarkan produk daripada batang pokok kelapa sawit. Beliau membawa pulang geran perniagaan bernilai RM400,000.

Tiga lagi finalis yang beraksi di peringkat akhir bagi kategori perniagaan ialah Edry Sulino Mohd Muslim Tan (Arstech Engineering ) yang menjalankan perniagaan pembuatan pasir kucing yang dibuat daripada sekam padi.

Yasriman Yahya (Syarikat Yasriman B Yahya) pula menjalankan perniagaan menerusi jenama Yas D’beauty and Care manakala Nur Mizani Abdul Rahim (Ar Fatimah Enterprise) menjalankan perniagaan pembuatan dan pengedaran aneka produk roti dan kek berpotensi tinggi.

Pertandingan ini diwujudkan pihak kementerian untuk menggalakkan belia luar bandar memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya, seterusnya dapat menjadikan luar bandar sebagai lokasi menarik untuk didiami masyarakat setempat.

Ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu pengembangan perniagaan dan idea perniagaan. Daripada 1,134 peserta yang memohon, seramai 27 terpilih bagi kedua-dua kategori berkenaan.


MOHD Azrie (tengah), naib johan, Mohd Yusof Umar (kiri) dan tempat ketiga, Mohd Suhaidi Jaapar (kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 2:10 AM