Penampilan akhir Siti di khalayak sebelum berehat panjang untuk bersalin. FOTO Rohanis Shukri.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, belum terfikir untuk mewujudkan laman sosial Instagram (IG) buat puteri sulungnya yang bakal lahir Mac ini.

Kata Siti, apa yang menjadi keutamaan dan perlu diambil berat sekarang adalah kesihatan dirinya dan bayi dalam kandungan.

“Saya pasti setiap orang ada alasan tersendiri kenapa ingin mewujudkan akaun Instagram anak. Bukan saja di kalangan selebriti, tetapi orang biasa pun ada juga.

“Sudah tentu, IG ini boleh mengabadikan segala momen dan melihat perkembangan anak. Ini satu lagi cara untuk berkongsi kepada peminat.

“Cuma saya belum fikir nak buat atau tidak. Kalau anak tak ada akaun IG sendiri pun, saya akan muat naik di IG sendiri dahulu. Bagi saya, ia sama saja,” katanya kepada Harian Metro.

Antara artis yang berbuat sedemikian, Amar Baharin dan Amyra Rosli, Shaheizy Sam, Hanis Zalikha, Rozita Che Wan dan Awal Ashaari.

Tidak terkecuali ada pasangan selebriti mewujudkan akaun IG untuk bayi yang belum dilahirkan lagi seperti Azwan Kombos.

Menurut Siti, dia juga perlu menghormati pendirian suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa terutama membabitkan keluarga dan anak.

“Ketika saya berkongsi video ujian imbasan kehamilan sebelum ini, suami minta saya buang. Katanya, terlalu awal.

“Sama juga dalam perkara ini, saya tidak boleh buat keputusan sendiri. Saya perlu menghormati pendirian suami. Saya ikut mana yang dirasakan sesuai.

“Kadang saya okey, suami pula sebaliknya. Jadi, saya kena patuh. Mungkin apa yang difikirkan suami ada betul dan rasionalnya. Jadi, saya tak boleh ikut kepala sendiri,” katanya.

Siti yang kini sarat mengandung tujuh bulan, hadir di majlis pembukaan cawangan baru Jakel dan Ariani di Bangi pagi tadi.

Kata Siti, itu kemunculan terakhirnya di khalayak sebelum bercuti untuk bersalin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:54 PM