FADZLI
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Ramai tertarik dengan kebolehan Ahmad Fadzli Bakar atau Fadzli Fareast menyanyikan intro lagu Syahadah dalam bahasa Tamil ketika bertanding dalam Anugerah Nasyid 2017 (AN17) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu.

Keunikan persembahan dan vokal mantap yang diperlihatkan ternyata menjadi ramuan terbaik buatnya apabila diangkat sebagai Juara Anugerah Nasyid 2017 serta memenangi dua kategori lain iaitu Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Pengasas dan bekas anggota kumpulan nasyid Fareast ini mengakui sanggup masuk kelas bahasa Tamil khusus untuk menyanyikan lagu ciptaannya sendiri serta lirik Ito Lara itu.

“Saya belajar bahasa Tamil bagi menghayati lirik lagu ini. Bahkan saya pernah buat persembahan di India menyampaikan lagu dalam bahasa Tamil.

“Sebenarnya, saya baru sahaja menyiapkan tujuh lagu Tamil yang akan dipasarkan tak lama lagi,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kunjungan ke India, Fadzli berkata, dia dijemput menjayakan persembahan di depan tetamu kenamaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bahkan ketika pelancaran Little India di Brickfields, Kuala Lumpur pun saya turut diundang mengadakan persembahan. Ia satu pencapaian membanggakan buat saya,” katanya.

Tampil secara solo sejak dua tahun lalu, Fadzli, 42, memberitahu, pertemuannya dengan seorang usahawan berbangsa India, mencetuskan idea menarik ini.

“Individu ini bukan Islam, tapi sangat meminati genre nasyid dan suka dengar lenggok nyanyian nasyid. Dia ada tanya adakah saya berminat belajar bahasa Tamil kerana lenggoknya hampir sama dengan nyanyian nasyid.

“Saya diperkenalkan dengan guru yang mengajar bahasa Tamil. Hampir setahun juga saya belajar,” katanya.

Fadzli berkata, lagu untuk album bahasa Tamil yang akan dipasarkan tidak lama lagi adalah ciptaan komposer dari India sepenuhnya, namun proses rakaman berlangsung di Malaysia.

“Muzik dirakam di sana dan tugas saya hanya menyanyi. Kalau ikutkan perancangan, ia dipasarkan di India tapi tengoklah situasi seterusnya nanti.

“Saya cuba menyanyi dalam bahasa Tamil kerana ia satu cabaran. Lagu yang dinyanyikan pula bersifat positif,” katanya.

Biarpun bergerak secara solo, Fadzli masih mengekalkan nama Fareast kerana itu ‘trademark’ dirinya.

“Saya masih boleh bekerjasama dengan Fareast. Kadangkala kami buat persembahan bersama,” katanya.

Martabatkan nasyid

Fadzli berkata, hobi utamanya adalah menyanyi, mencipta lagu serta memasak. Dia pernah mempunyai restoran dinamakan Walid Kitchen di Melaka, tetapi terpaksa menutup premis itu dan hanya fokus pada penghantaran kepada pelanggan.

“Saya akan bekerjasama dengan Inteam Production untuk resipi masakan di YouTube. Berkenaan karier seni pula, saya teringin berduet dengan penyanyi arus perdana untuk raih pengalaman baru.

“Saya tiada masalah untuk masukkan elemen rap atau sebagainya kerana ia tetap seni. Selepas meninggalkan Fareast, saya tampil dengan single berjudul Lahad. Selepas itu, Hafiz Hamidun menaja lagu Walid buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 3:31 AM