WHANNELL obses dengan filem seram.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Nama pelakon dan penulis skrip dari Australia, Leigh Whannell bukanlah asing dalam kalangan penggemar genre seram di Hollywood.

Whannell juga menempa nama menerusi kerjasamanya dengan pengarah James Wan menerusi filem seram seperti Saw, Dead Silence, Insidious dan Insidious: Chapter 2.

Selepas menempa nama menerusi tiga francais filem hit Insidious, terbaru Whannell mempertaruhkan francais keempatnya, Insidious: The Last Key arahan Adam Robitel yang mula ditayangkan di negara ini sejak 4 Januari lalu.

Selaku pelakon dan penulis skripnya, Whannell mengakui berdepan cabaran untuk menghasilkan skrip filem keempat itu.

“Saya akui proses menulis skrip untuk siri keempat ini paling sukar dilakukan.

“Ia filem keempat Insidious dan saya perlu tampil dengan idea segar dan kelainan untuk menarik penonton,” katanya.

Oleh itu, kata Whannell, dia juga dapat idea untuk berkunjung ke Sepanyol bagi menulis filem keempat Insidious itu.

“Saya masih ingat rumah yang kami sewa di Sepanyol itu berusia 300 tahun. Ia agak menyeramkan dan saya tidak tahu rumah itu yang beri inspirasi untuk menulis filem terbaru ini,” katanya.

Bagaimanapun, kata Whannell, dia juga mendapat idea menulis skrip filem itu dengan memaparkan kisah Dr Elise Rainier lakonan Lin Shaye kembali ke kampung halamannya di sebuah pekan kecil.

“Rumah lama yang kami sewa di Sepanyol itu memang di pekan kecil dan hanya ada lima rumah di situ dan ia diterjemah kepada lima kunci yang juga nama pekan dalam filem berkenaan.

“Saya sangat teruja dengan idea kisah silam Elise yang dipaparkan dalam filem terbaru ini dan ia berbeza daripada siri sebelumnya yang lebih kepada cerita dia menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.

Ditanya kenapa kali ini watak Dr Elise Rainier menjadi fokus penceritaan, kata Whannell, peminat siri itu sudah kenal dengan watak Elise dan mereka sangat meminatinya.


BERSAMA Shaye dalam salah satu babak The Insidious: The Last Key.

“Pada filem pertama Insidious, Elise hanya sebagai watak pembantu dan pada sekuel ketiga, dia penyelamat keadaan dan siri terbaru pula, Elise adalah fokus utama filem ini.

“Saya juga mendapat maklum balas yang hebat daripada penonton dan itu menyebabkan yakin untuk meletakkan Elise pada watak utama serta fokus cerita ini,” katanya.

Whannell berkata, filem itu juga menampilkan lakonan terbaik Shaye sepanjang kariernya.

“Shaye juga sudah menjadi sebahagian francais Insidious dan dia tahu karakter Elise lebih baik daripada kami semua.

“Saya dan pengarah filem ini, Adam juga tidak mempersoalkan apabila Shaye beri idea mengenai watak Elise,” katanya.

Obses filem seram

Whannell juga mengakui sangat obses dengan filem seram sejak dulu.

“Saya tidak ada pengalaman bertemu makhluk halus atau gangguan roh tetapi buat filem seram sangat menyeronokkan.

“Saya juga percaya filem seram sangat menarik dan sentiasa mendapat sambutan ramai kerana ada peminat tersendiri,” katanya.

Ditanya kenapa tidak mengarah filem keempat Insidious itu, kata Whannell, dia mahukan sentuhan pengarah lain pada filem itu.

“Saya sudah mengarahkan filem ketiga Insidious sebelum ini. Selain menulis skrip, saya juga berlakon dalam filem keempat ini.

“Saya juga beri kebebasan kepada Adam untuk mengarah filem ini dan kami semua bergabung untuk berikan yang terbaik pada filem keempat ini,” katanya.

Mengulas mengenai Insidious 5 pula, kata Whannell, dia belum ada perancangan khusus untuk itu.

“Persaingan semakin sengit dengan pembikin filem generasi muda sekarang. Mungkin kami akan beri peluang kepada pembikin filem muda atau pengarah wanita untuk mengarahkan naskhah terbaru nanti,” katanya.

Filem ini dimantapkan dengan barisan pelakon hebat seperti Angus Sampson, Josh Stewart, Caitlin Gerard, Kirk Acevedo, Javier Botet, Bruce Davison, Spencer Locke, Tessa Ferrer, Ava Kolker dan Marcus Henderson.

Ia terbitan Universal Pictures dan edaran oleh Sony Pictures Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 4:22 AM