Nicole Kidman bersama trofi untuk Aktres Terbaik bagi Siri TV Big Little Lies.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


FILEM Three Billboards Outside Ebbing, Missouri arahan Martin McDonagh mengunguli Anugerah Golden Globes ke-75 yang berlangsung pagi tadi apabila menang empat anugerah termasuk Filem Terbaik (Drama), Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Karya memaparkan pembunuhan remaja perempuan itu mengiktiraf dua pelakon utamanya, Frances McDormand (Aktres Terbaik) dan Sam Rockwell (Aktor Pembantu).

Dalam ucapannya, Frances meluahkan rasa bertuahnya berada dalam majlis prestij itu.

“Percayalah, semua wanita dalam dewan ini berada di sini bukan untuk makan tetapi kita berada di sini kerana kerja,” katanya.

Sementara itu Guillermo del Toro menang Pengarah Terbaik menerusi filem The Shape of Water yang menerima paling banyak pencalonan iaitu lapan kategori.

Untuk Aktor Terbaik (Drama) pula dimenangi Gary Oldman untuk lakonannya sebagai Winston Churchill dalam Darkest Hour.

Acara tahunan berlangsung di The Beverly Hilton, Los Angeles itu mengiktiraf karyawan yang terbabit dalam industri filem dan televisyen. Untuk filem ada dua kategori iaitu Filem Drama dan Filem Muzikal/Komedi.

Untuk Filem Muzikal/Komedi Terbaik, Lady Bird yang mengisahkan ibu dan anak perempuan, menang Filem Terbaik (Muzikal/Komedi) manakala pelakon utamanya, Saoirse Ronan menang Aktres Terbaik.

Sementara itu, siri drama terbitan HBO, Big Little Lies menang empat trofi, Siri Terhad TV, Aktres Terbaik (Nicole Kidman), Aktor Pembantu Terbaik (Alexander Skarsgard) dan Aktres Pembantu Terbaik (Laura Dern).

Nicole menjayakan watak Celeste Wright yang menjadi mangsa dera berkata, siri ini mewakili topik yang hangat dibincangkan sekarang iaitu penderaan.

“Saya percaya kita semua dapat membawa perubahan menerusi karya diketengahkan. Kita perlu meneruskan perbincangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:37 PM