AKTIF bersenam kerana mahu dapatkan kembali berat badan ideal 48kg.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Penyanyi Ummu Shaikhah Stacy Anam atau lebih dikenali sebagai Stacy, 28, kini boleh menarik nafas lega apabila hampir berjaya mendapatkan semula berat ideal, 48 kilogram (kg).

Stacy yang popular dengan lagu Pakai Buang berkata, berat badannya kini 49kg selepas melakukan senaman di gimnasium sejak Oktober tahun lalu.

“Selepas bersalin berat susah nak turun. Sebelum mula bersenam dan mengamalkan diet, berat saya 55kg. Alhamdulillah, selepas sebulan saya berjaya turunkan sehingga 53kg iaitu ketika membuat persembahan pada Anugerah Skrin 2017.

“Saya tak mahu turun banyak, memadai jika dapat berat ideal iaitu 48kg. Kalau terlalu ringan susah juga sebab tidak seimbang dengan bentuk badan. Jadi, kalau dapat berat asal sebelum berkahwin dan mengandung, saya perlu kekalkan,” katanya.

Stacy yang juga isteri kepada penyanyi Akim Ahmad turut berkongsi rutin senamannya sehingga berjaya menurunkan berat badan.

Menurut Stacy, pada peringkat awal dia menghabiskan masa selama dua jam pada setiap sesi iaitu empat kali seminggu.

“Orang kata untuk dapatkan hasil terbaik memang kena disiplin tinggi. Ini saya akui dan nampak perubahan. Saya perlu gagahkan diri juga dan tak boleh tinggalkan senaman. Mujur saya ada jurulatih peribadi yang memantau.

“Saya beritahu kepadanya tidak mahu bentuk badan ‘sado’ tetapi hanya ingin ‘fit’. Jadi, dia memberikan jadual dan rutin senaman yang bersesuaian. Pada masa sama, saya perlu jaga pemakanan.

“Namun, selepas sebulan saya sudah tidak berdiet. Saya makan banyak dan tak ada pantang. Cuma saya kena jaga waktu makan dan tidak boleh tinggal senaman. Perkara ini sangat penting,” katanya.

Stacy berkata, dia juga berterima kasih kepada suami kerana banyak memberikan sokongan moral dan kata-kata sebagai motivasi.

“Suami tak larang, malah dia lebih menggalakkan. Lagipun, dia tak nak saya bosan seorang diri di rumah jika dia sibuk dengan kerja. Sekurang-kurangnya saya boleh mengisi masa lapang sementara menunggu anak (Bella) pulang dari sekolah,” katanya.

Paling penting bagi Stacy, senaman yang dilakukan memberikan lebih tenaga dan menambahkan stamina ketika membuat persembahan.

“Diakui selepas bersalin, saya mengalami masalah suara. Malah, stamina juga kurang sehingga membuatkan saya sukar menyanyi dengan baik. Macam persembahan pada ASK lalu, stamina saya masih kurang.

“Sekarang, segalanya lebih mudah dan stamina juga bagus. Apa saya perasan juga, stamina sekarang sama seperti ketika mula muncul dalam industri. Saya berharap persembahan saya lebih bagus selepas ini,” katanya yang bakal terbabit dalam sebuah acara berprestij muzik bulan depan.

Dalam perkembangan lain, Stacy bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Lagu ini berbeza sikit dengan single Cakap Ke Tangan. Ia lebih kepada pop. Saya sudah dengar demo lagu ini dan saya suka. Insya- Allah, saya akan memulakan proses rakaman dalam masa terdekat.

“Selain itu, saya juga baru dilantik menjadi duta minuman Anlene. Saya anggap ini rezeki anak,” katanya.

Mengenai persaingan dengan penyanyi baru, Stacy menyifatkan setiap penyanyi ada kelebihan tersendiri.

“Saya percaya dengan rezeki. Paling penting, kena yakin dengan bakat yang ada. Alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun saya berada dalam industri muzik. Tanpa sokongan banyak pihak, saya takkan kekal sehingga sekarang.

“Saya serius dalam bidang ini dan tidak pernah berputus asa. Selagi ada peluang dan ruang, saya buat sehabis baik. Saya juga tidak mahu menghampakan peminat. Jadi, setiap kali muncul dengan lagu baru, saya perlu suntik kelainan supaya mereka tidak bosan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 10:12 AM