ROMBONGAN terdiri daripada keluarga Aziz, Den dan Lokman menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan
Hartati Hassan Basri

hartati@hmetro.com.my.

Jumaat lalu hari kelima kita menghirup nafas di tahun baru. Selama itu juga keadaan di Kuala Lumpur dan sekitarnya, bagaikan berduka kerana tiada sinaran matahari waktu pagi dan petangnya pula hujan lebat.

Apa yang menarik perhatian sepanjang minggu lalu ialah mengenai berita rombongan Aziz M Osman dan Den Wahab ditipu individu ketika bercuti ke Seoul, Korea Selatan dari 24 hingga 28 Disember lalu.

Sekarang ini macam-macam kes penipuan kita dengar bukan hanya pakej percutian malah pakej umrah. Selalu yang menjadi mangsa kerana tertarik dengan tawaran harga murah serta kata-kata yang cukup menyakinkan. Selalu kita dengar rombongan umrah terkandas di Arab Saudi kerana pihak yang menguruskan perjalanan mereka tidak muncul. Ada juga terkandas ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lagi.

Bagi kes Den Wahab dan Aziz, mereka ditipu wanita yang mendakwa pengurus pelancongan sambilan untuk pakej percutian bagi 22 orang membabitkan RM90,000.

Rabu lalu Den dan Aziz bersama 15 lagi anggota rombongan mereka, membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara. Turut hadir Pengarah Operasi Arba Travel dan Tours, Ammar Shahrin.

Kata Den atau Zaharudin Abdul Wahab, 54, tindakan itu bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi waktu sama ingin memastikan tiada lagi pihak yang ditipu individu itu.

Mereka difahamkan sudah ramai yang menjadi mangsa wanita itu selama ini.

Khamis lalu wanita itu membuat aduan kepada sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan mendakwa dirinya tidak bersalah dan tiada kena-mengena dengan penipuan itu.

Jam 3 petang hari sama, wanita berusia 36 tahun itu hadir bersama suami di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Petaling Jaya untuk menyerah diri.

Wanita itu direman selama dua hari selepas perintah dikeluarkan terhadapnya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabit kesalahan.


NORA dan Den tetap gembira sepanjang percutian mereka ke Seoul pada 24-28 Disember lalu.

Rai ulang tahun Den ­Wahab di Seoul

Bukan tidak pernah bercuti ke luar negara bersama keluarga tetapi ini kali pertama pelakon dan penerbit Den Wahab dan isteri, Nora Bustamam bercuti ramai-ramai bersama keluarga besar mereka ke Seoul, Korea Selatan pada 24 hingga 28 Disember lalu.

Pasangan itu yang turut membawa enam anak mereka, tidak menyangka melalui pengalaman pahit ditipu hingga terkandas di sana.

Nora atau Norassikin Bustamam berkata, sebelum ini dia bercuti bersama keluarga dan menguruskan sendiri tetapi kali ini tertarik turut serta apabila dipelawa isteri Aziz M Osman, Puteri Lily Lokman bercuti bersama-sama.

Rombongan 22 orang termasuk besan Nora, keluarga Aziz (3), keluarga adik Aziz (5), sepupu Lily (2) dan keluarga Lokman Ghani (3).

Katanya, memang agak terkejut apabila dimaklumkan harga pakej hanya RM2,000 seorang tapi kerana percayakan Lily yang mengatakan kenal individu itu daripada sepupunya yang pernah berurusan dengannya sebelum ini, Nora ikutkan saja.

“Wanita itu juga menggunakan nama Arba Travel dan Tours, syarikat pelancongan terkenal. Lily membayar RM50,000 untuk pakej dan bersama bayaran lainnya tiket masuk ke Everland dan insurans.

“Masalah mula timbul dua hari sebelum berlepas apabila wanita itu mendakwa tiket penerbangan yang ditempah dibatalkan kerana dia belum membuat bayaran kepada syarikat penerbangan.

“Lily sanggup menggunakan wang sendiri sebanyak RM40,000 untuk membeli tiket penerbangan dan wanita itu berjanji untuk membayarnya semula.

“Sampai di sana keadaan baik-baik saja, kami disambut pemandu pelancong, ada bas dan hotel penginapan yang selesa serta lain-lainnya.

“Bagaimanapun pada hari ketiga, kami dimaklumkan wanita itu tidak membayar mereka hingga kami diminta keluar dari hotel. Tiket penerbangan pulang yang diberi kepada kami juga ternyata palsu hingga terpaksa keluarkan wang lagi untuk membeli tiket pulang,” katanya.

Walaupun menempuh pelbagai dugaan sepanjang di sana, Nora akui mereka gembira dan sempat meraikan ulang tahun kelahiran suaminya yang ke-54 pada 27 Disember lalu.

Katanya, dia memang merancang untuk meraikan ulang tahun Den di sana, siap membawa kek yang ditempah khas bentuk baju Melayu.

“Kami bertuah kerana mendapat pemandu pelancong yang baik dan banyak membantu ketika kami melalui masalah.

“Saya juga difahamkan pemandu pelancong ini beberapa kali ditipu wanita itu. Malah ramai yang berkongsi dengan saya sehingga hari ini mengenai diri mereka pernah menjadi mangsa wanita itu.

“Saya berharap pihak berkuasa mengadili wanita itu secukupnya kerana ramai yang menjadi mangsanya selama ini,” katanya.

Nora akui tawaran harga murah sering menjerat ramai orang menjadi mangsa penipuan dan menasihatkan orang ramai supaya memilih pakej percutian dengan ejen berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

Selain itu, buat bayaran kepada akaun syarikat dan elakkan membuat bayaran kepada mana-mana akaun individu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Arba Travel dan Tours kerana sanggup membantu kami walaupun mereka tidak menerima bayaran.

“Semua ini dilakukan selepas kami berjanji akan menuntut keadilan bagi pihak kami dan pihaknya apabila pulang ke tanah air. Itulah yang kami lakukan Rabu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:09 AM