Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Esok adalah lembaran baru yang diharap memberi nafas segar buat pembikin filem tempatan dan antarabangsa. Namun, adakah filem-filem tersenarai ini bakal pecah panggung atau sebaliknya, terletak pada kaedah promosi dan tarikan yang disajikan buat penonton Malaysia kelak.

1. Ayat-Ayat Cinta 2

Arahan: Guntur Soeharjanto.

Pelakon: Fedi Nuril, Dewi Sandra, Chelsea Islan, Tatjana Saphira dan Nur Fazura.

Genre: Drama.

Tayangan: 11 Januari 2018.

Ayat-Ayat Cinta bukan baru kerana pernah mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan peminat filem genre romantis dan religi tempatan pada 2008.

Untuk rendisi kedua yang bakal ditayangkan pada 11 Januari ini, ia berkisar hidup Fahri yang kini menetap di Edinburgh dan bekerja sebagai pensyarah di Universiti Edinburgh. Dalam cerita kali ini, Fahri terpaksa hidup tanpa cinta hatinya, Aisha.

2. Along With The Gods: The Two Worlds

Arahan: Kim Yong-Hwa.

Pelakon: Ha Jung-woo, Cha Tae-Hyun, Ju Ji-Hoon, Lee Jung-Jae dan Kim Hyang-gi.

Genre: Aksi fantasi,

Tayangan: 18 Januari 2018.

Filem Korea Selatan yang diadaptasi daripada komik web ini memaparkan kesan khas dan cerita yang menarik. Mengisahkan perjalanan roh Ja-hong, seorang anggota bomba yang mati ketika menyelamatkan seorang kanak-kanak.

Dia ditemani tiga malaikat maut diketuai Kang-lim. Ja-hong perlu melalui tujuh perbicaraan selama 49 hari bagi membuktikan dia tidak melakukan dosa ketika hayatnya.

Filem ini sarat dengan emosi dan pasti membuatkan penonton tersedu sedan pada babak yang menusuk jiwa.

3. Bukan Cinta Malaikat

Arahan: Aziz M Osman.

Pelakon: Fachri Albar, Nora Danish, Ashraf Muslim dan Donita.

Genre: Drama.

Tayangan: 25 Januari 2018.

Filem kolaborasi Malaysia-Indonesia ini memiliki keunikan tersendiri apabila menggabungkan pelakon dan pengarah dua negara. Filem kerohanian yang turut disuntik elemen cinta dan kemanusian ini jarang dipertontonkan sebelum ini.

Lebih menarik apabila Bukan Cinta Malaikat menjalani penggambaran di Madinah, Jeddah dan Syria. Bukan Cinta Malaikat sudahpun ditayangkan di Indonesia pada 13 Julai lalu.

4. KL Special Force

Arahan: Syafiq Yusof.

Pelakon: Syamsul Yusof, Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Sabrina Ali, Esma Daniel, Ramona Zamzam dan Mustaqim Bahadon.

Genre: Aksi

Tayangan: Mac 2018.

Filem arahan Syafiq Yusof ini sepatutnya ditayangkan bulan ini tetapi ditunda ke Mac 2018, lantas menjadikan ia filem tempatan paling dinantikan 2018.

Tarikan utama pastilah pada lakonan mantap serta gandingan dua generasi, Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof serta aksi mendebarkan yang dijanjikan dalam filem ini.

Difahamkan filem menelan belanja hampir RM2.5 juta ini mempunyai banyak adegan letupan dan tembak-menembak, malah beberapa kereta mewah turut diletupkan bagi mendapatkan impak aksi menarik.

5. Black Panther

Pengarah: Ryan Coogler.

Pelakon: Chadwick Boseman, Michael B. Jordan, Lupita Nyong’o, Danai Gurira, Martin Freeman, Daniel Kaluuya, Letitia Wright, Winston Duke, Angela Bassett, Forest Whitaker dan Andy Serkis.

Genre: Aksi fantasi.

Tayangan: 15 Februari 2018.

Black Panther mengangkat kisah selepas kejadian dalam filem Captain America: Civil War, ketika mana T’Challa pulang ke negaranya, Wakanda sebagai raja.

Malangnya dia berdepan cabaran baru daripada musuhnya dalam konflik yang mungkin memberi kesan besar kepada negara lain di luar Wakanda. Dalam filem ini, Black Panther akan bekerjasama dengan ejen CIA, Everett K Ross dan pasukan khas, Dora Milaje.

6. Tomb Raider

Arahan: Roar Uthaug.

Pelakon: Alicia Vikander, Walton Goggins, Daniel Wu dan Dominic West.

Genre: Aksi pengembaraan.

Tayangan: 15 Mac 2018.

Filem ini berdasarkan permainan video aksi pengembaran berjudul sama yang juga filem rebut karakter asal yang sungguh popular, Lara Croft.

Kisah kali ini, selepas mendedahkan klu baru yang ditinggalkan bapanya di England, Lara dibawa ke sebuah pulau terpencil di Jepun dikenali sebagai Pulau Yamatai yang memiliki pelbagai rahsia tersembunyi.

7. Avengers: Infinity War

Arahan: Joe Russo, Anthony Russo.

Pelakon: Robert Downey Jr, Josh Brolin, Mark Ruffalo, Tom Hiddleston, Chris Evans, Chris Hemsworth, Jeremy Renner, Chris Pratt, Elizabeth Olsen, Sebastian Stan, Benedict Cumberbatch, Karen Gillan, Tom Holland, Samuel L Jackson, Chadwick Boseman, Paul Rudd, Evangeline Lilly, Michael Douglas, Zoe Saldana, Scarlett Johansson, Tessa Thompson, Gwyneth Paltrow, Dave Bautista, Jon Favreau, Don Cheadle, Paul Bettany, Cobie Smulders, Anthony Mackie dan Benedict Wong.

Genre: Aksi Fantasi.

Tayangan: 26 April 2018.

Filem adiwira yang dianggap tidak pernah gagal menghiburkan peminat setia ini bakal mengumpul semua adiwira baru dan lama termasuk Iron Man, Thor dan Hulk menentang musuh paling berkuasa, Thanos.

Thanos dalam misi mengumpul enam Batu Infiniti dan menggunakan artifak itu untuk menguasai seluruh cakerawala.

Menariknya, beberapa watak adiwira yang pernah muncul dalam siri tersendiri turut membuat kemunculan istimewa. Persoalannya, dengan kemunculan sangat ramai adiwira, sejauh mana setiap watak diberikan ruang untuk berkembang seadilnya?

8. Munafik 2

Arahan: Syamsul Yusof.

Pelakon: Syamsul Yusof, Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Fauzi Nawawi, Fizz Fairuz, Ku Faridah dan Datuk Rahim Razali.

Genre: Seram.

Tayangan: Mac atau April 2018.

Tarikh tayangan filem ini belum diputuskan lagi. Penggambaran filem ini sudah dilakukan pada Mac lalu dan dipercayai tarikh tayangannya akan mengikut jejak Munafik.

Menerusi sekuel ini watak Ustaz Adam akan berdepan cabaran lebih besar apabila perlu menangani isu ajaran sesat.

Pelakon hebat Maya Karin muncul sebagai Sakinah, ibu tunggal yang hidup terpinggir dan dipercayai mempunyai perkaitan dengan semangat jahat yang diturunkan lelaki misteri.

9. Hantu Kak Limah 3

Arahan: Mamat Khalid.

Pelakon: Datuk Awie, Uqasha Senrose, Delimawati, Zul Ariffin, Mus May, Ropie Cecupak, Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Genre: Drama komedi.

Tayangan: Ogos 2018.

Selepas berjaya meraih kutipan pecah panggung lebih lima tahun lalu, Hantu Kak Limah kembali dengan rendisi ketiga yang lebih mencuti hati. Kali ini mengisahkan hubungan Husin dengan puteri bunian dikenali sebagai Zaitun.

Beberapa nama besar seperti Erra Fazira, Datuk Seri Vida dan Mus May muncul dengan watak yang kelakar.

Paling dinantikan pasti watak komedi pertama Zul Ariffin sebagai Encik Solehin, guru silat yang juga pengusaha toko perbaharui cukai jalan di kampung Pisang.

10. Polis Evo 2

Arahan: Joel Soh.

Pelakon: Shaheizy Sam, Zizan Razak, Hairul Azreen, Riz Amin dan Raline Shah.

Genre: Aksi kepolisan.

Tayangan: September 2018.

Sepatutnya filem yang pernah mendapat sentuhan magis Ghaz Abu Bakar dengan mencatat kutipan antara tertinggi dalam sejarah perfileman negara ini ditayangkan tahun ini.

Namun, disebabkan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan, filem ini tertangguh pembikinannya dan hanya menjalani penggambaran beberapa bulan lalu.

Pihak produksi belum mengesahkan tarikh tayangan tetapi ada ura-ura mendakwa ia bakal menemui penonton penghujung 2018.

Filem hebat lain yang bakal menemui penonton tempatan tahun depan termasuk One Two Jaga (Februari), Jurassic World: Fallen Kingdom (Jun), The Incredibles 2 (Jun), Mission Imposible 6 (Julai), X-Men: Dark Phoenix (November), Aquaman (Disember) dan Bumblebee (Disember).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:22 AM