KID (dari kanan), Din, Nasir dan Amy buat peminat teruja dengan lagu baru mereka.
Payatt
riadz@hmetro.com.my


Persembahan Search pada Konsert Gegaran yang berlangsung di Bulatan Bazarena, Shah Alam, Sabtu lalu saya anggap paling menarik daripada band rock nombor satu itu.

Ini kerana dalam tempoh 11 tahun sejak album Gothik Malam Edan pada 2006, ini konsert yang menyaksikan mereka kembali membawakan lagu baru.

Ia sempena kelahiran album terbaru, Katharsis pada 22 November lalu.

Konsert Gegaran yang turut menampilkan Hujan, Bunkface, Oh Chentaku dan band Indonesia, Nidji itu berlangsung selepas lebih seminggu album Katharsis dipasarkan.

Dalam tempoh itu juga, album berkenaan sudah terjual lebih 4,000 unit. Apa yang pasti, peminat tegar Search tidak sabar untuk menjadi orang pertama menyaksikan Search memainkan lagu terbaru buat pertama kali secara ‘live’.

Apatah lagi, beberapa hari sebelum konsert, pemain bass, Nasir memuat naik status di Facebook dan Instagram mengatakan Search bakal membawa tujuh daripada 10 lagu dalam album Katharsis.

Selepas ‘menghadam’ 10 lagu baru Search dalam tempoh seminggu sebelum itu, saya turut teruja untuk menonton konsert berkenaan.


AMY.

Pada malam itu, Search tampil di pentas selepas persembahan Nidji yang cukup bertenaga. Nampaknya sebahagian besar daripada 5,000 penonton pada malam itu adalah golongan muda yang lebih arif dengan muzik Oh Chentaku, Bunkface, Hujan dan Nidji.

Bimbang juga jika ada yang ‘angkat kaki’ sebaik Search muncul di pentas.

Namun itu tidak berlaku, sebaliknya mereka setia menonton persembahan Search hingga tamat. Malah, ramai juga yang sudah menghafal lagu terbaru Search.

‘Setlist’ Search juga cukup menarik. Mereka ‘belasah’ tujuh lagu baru tanpa henti bermula dengan Henjut, Gagalista, Nama Yang Kau Lupa, Sidang Kangaroo, Bebas Liar, Embun dan Sulalatus Salatin.

Walaupun gitar bass Nasir dilihat mengalami masalah teknikal dan Amy belum menghafal sepenuhnya lirik lagu baru, tetapi persembahan Search tetap teguh.


DIN.

Gabungan abang dan adik, Din dan Kid tetap berbisa. Din yang digelar ‘King of Rhythm’ tetap ‘cool’ dengan gitarnya manakala Kid yang digelar ‘King of Tremolo’ seperti biasa menghasilkan solo gitar yang mencengkam jiwa!

Pae yang menggantikan Yazit juga tidak mengecewakan. Teknik permainannya walaupun dikatakan belum mengatasi kehebatan Yazit, tetapi Pae dilihat makin serasi dengan Search terutama menerusi lagu baru yang dia sendiri rakamkan ketika di studio.

Ada juga suara nakal ‘mengecam’ Search kerana memainkan banyak lagu baru, tetapi itu semua bukan gangguan buat Search.

Jika hanya tahu lagu Pawana dan Isabella, tak payah mengaku sebagai peminat Search.

Dalam segmen kedua, Search turut membawakan lagu lama seperti Gothik Malam Edan, Diari Habil & Qabil, Isabella, Kereta Merah, Pelesit Kota dan Pawana.


NASIR.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:10 AM