TARA Basro
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Nama model dan pelakon jelita Tara Basro mula dikenali peminat filem Indonesia menerusi lakonannya dalam filem Catatan Harian Si Boy pada 2011.

Selepas filem itu, tawaran berlakon tidak putus diterimanya seperti Rumah Dan Musim Hujan (2012), Make Money (2013), Killers, The Right One, Pendekar Tongkat Emas (2014), Filosafi Kopi, Another Trip To The Moon dan Flutter Echoes And Notes Concerning Nature.

Bakat lakonannya terbukti apabila memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Piala Citra pada Festival Filem Indonesia menerusi lakonannya dalam filem A Copy Of My Mind arahan Joko Anwar pada 2015.

Terbaru, Tara, 27, kembali bekerjasama dengan Joko menerusi filem seram Pengabdi Setan yang sudah ditayangkan di Indonesia pada 28 September lalu.

Ketika ditemui, pelakon kelahiran Jakarta dan pemilik nama sebenar, Andi Mutiara Pertiwi Basro ini mengakui dia juga perlu menghadiri uji bakat untuk berlakon dalam filem Pengabdi Setan.

“Walaupun pernah bekerja dengan Joko dalam filem Copy Of My Mind, saya juga perlu menghadiri proses uji bakat sama seperti pelakon lain.

“Saya bersyukur kerana akhirnya terpilih daripada 47 calon yang menghadiri uji bakat untuk watak Rini dalam filem berkenaan,” katanya.

Namun, kata Tara, watak Rini yang diganggu arwah ibunya sendiri dalam filem itu turut mencabar lakonannya.

“Rini anak sulung daripada empat beradik. Dia juga perlu menjaga adiknya dan ibu yang sakit.

“Saya pula seorang yang penakut dan ketakutan itu yang menjadi kekuatan untuk mendalami watak Rini seperti dikehendaki skripnya,” katanya.

Selain Tara, barisan pelakon filem ini ialah Dimas Aditya, Bront Palarae, Endy Arfian, Ayu Laksmi, Elly Luthan, Nasar Annuz, Egi Fedly, M Adhiyat, Fachri Albar dan Asmara Abigail.

Mengenai gandingan dengan pelakon lain pula, kata Tara, dia tidak berdepan masalah untuk mendapatkan keserasian dengan mereka dalam filem itu.

“Saya pernah berlakon dengan Bront dalam siri HBO Halfworlds dan tiada masalah untuk kami melakonkan watak sebagai sebuah keluarga.

“Begitu juga pelakon kanak-kanak yang menjadi adik saya dalam filem ini.

“Walaupun pelakon baru, mereka menampilkan lakonan yang bagus sebagai pelakon kanak-kanak yang boleh diketengahkan,” katanya.

Dapat mimpi menakutkan

Sebagai pelakon, Tara turut mengalami pengalaman menyeramkan ketika penggambaran filem Pengabdi Setan sebelum ini.

“Saya pernah berlakon dalam filem seram iaitu Hi5teria sebelum ini. Namun, pengalamannya berbeza dalam filem Pengabdi Setan.

“Saya sentiasa dalam ketakutan ketika penggambaran di lokasi filem berkenan. Malah, saya juga dihantui mimpi yang menakutkan selepas melihat beberapa babak seram selepas penggambaran filem itu selesai.

“Mujur Joko sentiasa di sisi dan membantu mengatasi perasaan takut itu sepanjang di lokasi penggambaran,” katanya.

Ditanya sama ada dia serik untuk berlakon filem seram, kata Tara, dia akan berfikir dua kali jika ditawarkan berlakon dalam filem genre itu selepas ini.

“Terus terang, bukan mudah untuk berlakon dalam genre seram berbanding genre lain.

“Jika ada tawaran berlakon genre seram lagi, saya pastikan meneliti dulu latar belakang filem itu seperti pengarah dan penulis skripnya,” katanya.

Filem Pengabdi Setan mula ditayangkan di Malaysia bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 4:56 AM