BARISAN pelakon filem Pengabdi Setan.
ANTARA babak seram dalam filem ini.
ANTARA babak seram dalam filem ini.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Filem Pengabdi Setan arahan Sisworo Gautama Putra pada era 1980-an antara filem seram yang mendapat sambutan hebat dan masih diingati peminat di Indonesia hingga hari ini.

Selepas sekian lama, Pengabdi Setan kembali dengan ‘remake’ hasil sentuhan pengarah terkenal Joko Anwar khusus untuk penggemar genre seram di Indonesia dan Malaysia.

Sejak ditayangkan di seluruh Indonesia sejak 28 September lalu, filem ini mencatat kutipan RM4.2 juta.

Joko ketika ditemui berkata, dia membesar dengan filem seram klasik Indonesia dan Pengabdi Setan antara filem kegemarannya.

“Jadi, saya tidak lepaskan peluang keemasan daripada produser Rapi Films untuk mengarahkan filem ini selepas 10 tahun menanti,” katanya.

Ditanya persamaan dengan naskhah asalnya, Joko berkata, dia mengekalkan 15 peratus dari versi klasik Pengabdi Setan.

“Filem ini juga berlatarkan era 1980-an dan saya juga banyak dipengaruhi filem era itu di Indonesia dan Hollywood.

“Pihak kami juga mengambil tempoh berbulan-bulan mencari rumah yang sesuai untuk lokasi penggambaran filem ini.

“Akhirnya, kami menjumpai sebuah rumah lama pada zaman penjajah Belanda yang tidak dihuni sejak 20 tahun lalu. Kami terkejut kerana segala yang diperlukan dalam filem ini ada dalam rumah lama itu termasuk perigi,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Tara Basro, Dimas Aditya, Fachri Albar, Ayu Laksmi, Egy Fad, Endy Arfian, Nasar Annuz dan Muhammad Adhiyat.

Turut berlakon pelakon popular tanah air Bront Palarae.

Mengenai pemilihan pelakon pula, Joko berkata, semuanya menerusi proses uji bakat yang dibuat sebelum ini.

“Saya pernah bekerja dengan Tara dalam siri HB0 Halfworlds. Pemilihan watak pelakon kanak-kanak iaitu Bondi dan Ian pula membabitkan proses uji bakat di seluruh Indonesia.

“Seramai 40 kanak-kanak melalui proses uji bakat untuk setiap watak. Apa yang menarik, kami dapat menggilap bakat pelakon kanak-kanak menerusi filem ini,” katanya.

Pengabdi Setan mengisahkan mengenai satu keluarga membabitkan bapa, ibu dan empat anak mereka.

Ibu juga menderita penyakit misteri yang tidak diketahui asal-usulnya dan akhirnya meninggal dunia.

Selepas ibu meninggal dunia, bapa ke luar kota untuk bekerja. Tidak berapa lama selepas itu, pelbagai kejadian aneh berlaku di rumah mereka.

Anak menganggap arwah ibu datang untuk menjenguk mereka di rumah.

Situasi semakin menyeramkan apabila mereka mengetahui kedatangan ibu bukanlah sekadar menjenguk tetapi untuk mengambil mereka.

Filem ini ditayangkan di sini bermula Khamis ini.

Bront curi hati peminat Indonesia

Filem ini turut menyaksikan Bront pertama kali membawa watak Bapak iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun.

Joko berkata, dia memilih Bront untuk melakonkan watak itu kerana percaya dengan bakat lakonannya.

“Pada mulanya, saya meminta Bront mencari pelakon dari Malaysia untuk membawa watak Bapak itu.

“Namun, kami tidak bertemu pelakon yang sesuai dan akhirnya saya tawarkan Bront untuk watak itu,” katanya.

Joko berkata, dia puas hati dengan lakonan Bront sebagai Bapak dalam filem itu.

“Walaupun Bront tidak pernah melakonkan watak lelaki berusia 55 tahun tetapi dia berjaya menjiwai watak Bapak seperti dikehendaki skripnya.

“Bront hanya buat persediaan selama 10 hari untuk watak itu dan lakonan mantapnya juga berjaya mencuri hati peminat di Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Joko juga berharap filem itu akan mendapat sambutan hebat daripada peminat genre seram di Malaysia nanti.

“Kami berkarya bukan untuk menang anugerah sebaliknya untuk memberikan pengalaman sinematik kepada penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 2:04 PM