Erra anggap isu kontroversi Shahir tidak ada hala tuju. FOTO Arkib NSTP
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“HUBUNGAN kami masih baik dan doakan segalanya yang terbaik buat kami. Semoga yang baik juga akan bersama dengan orang yang mendoakan kebaikan itu.

“Saya juga tidak berhasrat untuk memberi komen panjang dan membentangkan secara terperinci mengenai hubungan saya dengan Syahir. Cukuplah saya beritahu secara ringkas demi menghormati permintaan dan tugas pihak media,” kata pelakon popular Erra Fazira, 43.

Itu jawapan ringkas Erra ketika diminta mengulas kenyataan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir Zawawi, 29, yang tetap meneruskan hasrat untuk meminangnya pada awal tahun hadapan.

Diminta mengulas kontroversi yang melanda Shahir apabila hangat dikaitkan dengan seorang pramugari iaitu Mona Syamimi Mohd Samsudin, Erra tidak mahu komen lebih lanjut mengenainya.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Shahir sendiri mengenai isu itu. Selain itu, saya juga ada bertanya pandangan teman-teman dalam industri seni serta mereka yang prihatin berkaitan isu terbabit

“Justeru, sedikit-sebanyak saya faham permainan dan sepak terajang dunia hiburan tanah air. Saya juga tidak mahu komen lebih-lebih kerana ia hanya akan memanjangkan isu yang tidak ada hala tuju itu.

“Saya percaya semua orang melalui gelombang hidup dan mempunya sisi cerita tersendiri. Ini adalah sebahagian cerita dalam kehidupan kita,” katanya.

Terdahulu, kontroversi hidup Shahir tercetus apabila Mona Syamimi tampil mendedahkan dia mempunyai hubungan istimewa dengan penyanyi itu selain berkongsi gambar keluar berdua dan mesej cinta.

Situasi itu mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini Shahir mengaku menjalin hubungan istimewa dengan Erra Fazira.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 3:55 PM