BABAK pertarungan membabitkan Tombiruo. FOTO Ihsan Astro Shaw.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENGORBANAN dan komitmen yang diberikan pelakon utama filem Tombiruo : Penunggu Rimba, Zul Ariffin berbaloi apabila filem berkenaan terus mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM5 juta selepas 10 hari ditayangkan sejak 12 Oktober lalu.

Zul yang membawa watak Tombiruo berkata, ia adalah watak paling berat dan mencabar pernah dilakonkannya kerana sepanjang penggambaran filem itu dia perlu bertopeng.

“Saya turut mengalami kecederaan ketika penggambaran. Apapun, kami sudah buat yang terbaik dan terpulang pada penonton untuk menilai hasilnya,” katanya.

Zul berkata, dia juga sangat bersyukur dengan sambutan daripada penggemar filem tempatan.

“Saya percaya filem ini mempunyai tarikan kerana ia menampilkan konsep baru dan mempunyai kualiti dari segi produksi untuk menarik penonton ke pawagam.

“Saya berharap ia juga permulaan yang cukup baik untuk penerbit menghasilkan filem berkualiti dan sehebat filem antarabangsa. Semoga kutipan filem ini akan terus meningkat sehingga tayangannya berakhir nanti,” katanya.

Filem adaptasi karya novelis terkenal, Ramlee Awang Murshid itu menampilkan sentuhan Seth Larney bersama pengarah bersekutu Nasir Jani.

Ia yang turut ditayangkan di Singapura dan Brunei menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Farid Kamil, Nabila Huda, Datuk M Nasir, Faizal Hussein dan Hasnul Rahmat.

Sementara itu, Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya bersama penerbit dari Ideate Media, grup buku Karangkraf dan Layar Sunan berasa terharu dengan sambutan penonton.

“Jumlah kutipan pada Sabtu dan Ahad (hari ini) belum diputuskan lagi kerana ada pawagam yang masih belum beritahu jumlah kutipan di sana lagi.

“Ini kerana pada tahun ini kutipan pecah panggung filem tempatan amat merudum di mana kutipan filem tempatan hanya dua hingga tiga peratus dari jumlah keseluruhan filem pecah panggung dan bakinya adalah filem antarabangsa,” katanya.

Namun, kata Najwa, masih ada cabaran menanti filem Tombiruo kerana ada filem hebat Hollywood yang akan ditayangkan di pawagam pada 26 Oktober ini.

“Justeru, saya sangat berharap penonton akan terus beri sokongan kepada filem tempatan. Pada masa sama, maklum balas daripada penonton juga sangat positif dan ramai yang sudah menonton filem ini berulang kali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:50 PM