FARIDA akui kini dia hanya terima tawaran benar-benar bagus.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Nama aktres veteran Farida Jalal tidak perlu diperkenalkan lagi di persada perfileman Bollywood mahupun di peringkat antarabangsa.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan, dia sudah berlakon lebih 200 filem.

Antara filem yang menaikkan namanya ialah Bobby, Chori Chori Chupke Chupke, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhie Khushi Kabhie Gham dan Dilwale Dulhaniya Le Jaayenge.

Malah, pada usia 67 tahun, Farida masih terus menghambakan dirinya dalam bidang lakonan yang sudah menjadi darah dagingnya sejak dulu.

Ketika ditemui, Farida mengakui dia tidak pernah terfikir untuk bersara dari bidang itu.

“Saya berlakon kerana minat dan mencintai bidang lakonan sejak dulu. Pada masa sama, peminat juga masih memberi sokongan padu hingga sekarang.

“Setakat ini, kesihatan saya juga baik dan saya akan terus berlakon selagi masih bernafas,” katanya.

Bagaimanapun, kata Farida, dia juga sangat memilih dengan tawaran berlakon ketika ini.

“Saya masih memenuhi tawaran berlakon di India. Namun, saya hanya memilih tawaran yang benar-benar bagus untuk karier seni.

“Saya juga menimba banyak pengalaman manis dan indah saja sepanjang terbabit dalam bidang lakonan,” katanya.

Farida ditemui pada majlis malam gala filem I’m Not A Terrorist yang berlangsung di GSC Pavilion Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai peminat pula, Farida mengakui dia sangat gembira kerana dapat tahu memiliki ramai peminat di Malaysia.

“Ramai peminat di sini yang lebih mengenali saya sebagai ibu Shah Rukh Khan dalam filem popular Kuch Kuch Hota Hai.

“Saya tidak kisah pun gelaran sedemikian kerana Shah Rukh Khan memang pelakon kegemaran sejak dulu. Selain itu, saya juga menyukai Kareena Kapoor kerana dia pelakon yang bagus. Saya juga melihat ramai artis muda berbakat besar yang mewarnai dunia perfileman Bollywood ketika ini.

“Nasihat saya pada artis muda, jangan duduk berpeluk tubuh saja, sebaliknya bangun dan rebutlah peluang itu,” katanya.

Seronok berlakon dengan produksi Malaysia Terbaru, Farida beraksi dalam filem I’m Not A Terrorist arahan Arjin Uppal yang menggabungkan bintang Bollywood dan Malaysia.

Selain Farida, filem terbitan White Merpati Entertainment itu turut menampilkan bintang legenda Bollywood iaitu Gulshan Grover dan Rahul Dev.

Manakala pelakon tempatan ialah Afiq Muiz dan Chacha Maembong.

Menurut Farida, dia juga menimba pengalaman berbeza dengan produksi Malaysia.

“Saya terima tawaran berlakon dalam filem I’m Not A Terrorist kerana tertarik dengan skripnya.

“Saya melakonkan watak Barida, ibu kepada hero iaitu Ummar (lakonan Afiq) dalam filem ini.

“Walaupun sering melakonkan watak ibu, saya melihat setiap watak dilakonkan juga berbeza dan mencabar dalam filem,” katanya.

Ditanya pengalaman bekerja dengan Arjin pula, kata Farida, walaupun masih muda, pengarah itu tahu apa yang dimahukannya untuk filem itu.

“Bukan saja Arjin, dua pelakon muda dari Malaysia iaitu Afiq dan Chacha juga pelakon yang bagus dan menjiwai watak masing-masing dengan baik.

“Saya juga berharap, filem ini akan mendapat sambutan hangat di pawagam Malaysia dan di India nanti.

“Jika ada tawaran, saya juga tidak akan menolak untuk bekerjasama lagi dengan produksi Malaysia selepas ini,” katanya.

Filem I’m Not A Terrorist juga bakal ditayangkan di seluruh negara bermula 5 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 1:13 PM