Nabila mahu tawan gunung tertinggi di dunia selepas ini. FOTO Nabila Huda
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


“SAYA sudah selamat turun dari Kem Induk Annapurna (ABC) di Banjaran Himalaya, petang semalam.

Saya sangat gembira kerana berjaya mencabar diri sendiri. Anda juga patut melihat bagaimana saya melakukannya sehingga berjaya,” kata pelakon popular Nabila Huda, 33, yang berjaya menamatkan misi pendakian solonya ke ABC.

Nabila yang memulakan pendakiannya Ahad lalu berkata, dia mendaki gunung itu untuk kepuasan diri dan bukannya mencari glamor atau publisiti.

Nabila yang sememangnya suka melakukan aktiviti lasak berkata, dia merancang misi itu dalam tempoh singkat dan tidak banyak kos diperlukan.

“Inilah pertama kali saya ke Nepal dan ABC yang setinggi 4,130 meter itu antara puncak yang paling mencabar,” katanya yang akan kembali ke tanah air pada 13 September ini.

Nabila berkata, dia bertuah kerana mendapat tajaan pelbagai pihak termasuk tiket kapal terbang dari Kedutaan Nepal selain beberapa produk untuk aktiviti lasak.

“Saya lega kerana misi ini sudah berjaya. Selepas ini saya berhasrat untuk menawan gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 5:47 PM