ANTARA babak dalam Malay Regiment.
ANTARA babak dalam Malay Regiment.
ANTARA babak dalam Malay Regiment.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Jujurnya, filem ini sesuai untuk membangkitkan semangat patriotik tetapi usaha ke arah itu dilihat ‘terlalu serius’ sehinggakan beberapa elemen penting yang perlu ada dalam filem kurang diberi perhatian.

Umum tahu, filem dihasilkan bertujuan membangkitkan rasa dan emosi penonton melalui keterujaan yang lahir daripada penceritaan babak ke babak.

Elemen tambahan seperti aksi, romantik, komedi, drama dan sebagainya adalah perencah yang menyedapkan sesebuah jalan cerita.

Malangnya Malay Regiment hanya bermain dengan fakta dan lakon semula, itu sahaja. Pengarah seolah terlupa untuk memasukkan emosi dalam babak.

Beberapa pelakon cuba memberi lakonan terbaik antara mereka Nad Zainal, Yuswaisar, Zack Zamree, Normah Damanhuri dan Datuk Tamimi Siregar.

Filem ini terlalu banyak CGI yang tidak perlu. Contohnya pada babak perbualan antara anak dan watak Kapten Zainal (lakonan Yuswaisar) di depan rumah, babak di dalam gerabak kereta api antara Kapten Zainal, Leftenan Hamid dan penumpang lain.

Babak menonjolkan pergerakan kereta api juga boleh dikatakan ‘over execute’. Ada antara babak CGI diulang-ulang bagi mengisi ruang kekosongan subplot.

Dari segi lakonan, perkembangan karakter terlalu singkat dan tidak dikembangkan dengan baik. Ia mengingatkan kembali kepada filem Kanang Anak Langkau dan Bravo 5 yang mengalami situasi perkembangan karakter dan jalan cerita sama.

Berbalik ke plot dan subplot, teknik suntingan ‘nonlinear’ yang diguna pakai dalam kaedah penceritaan dan suntingan terlalu cacamarba dan menghilangkan fokus tontonan.

Setiap subplot tidak dicanai dengan baik dan digarap separuh jalan. Ia menunjukkan sisi lakon layar sesebuah filem tidak diperkemaskan dengan baik.

Babak imbas kembali (flashback) tidak seimbang dengan babak zaman ini membuatkan penonton sekali lagi hilang fokus.

Rumusannya, filem ini hanya tambahan kepada senarai filem patriotik dan kenegaraan sedia ada.

INFO

FILEM: Malay Regiment

ARAHAN: Datuk Jurey Latiff Rosli

PELAKON: Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Yuswaisar, Zack Zamree, Mazlan Mokhtar, Normah Damanhuri, Nad Zainal, Kamal Adli, Falisha Crossley, Noni AF, Lawrence Poh, Vanessa Lim

GENRE: Aksi drama tentera

TAYANGAN: 31 Ogos 2017

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 1:11 AM